Jepun lancar strategi baharu untuk Asia bagi kekang kuasa China

0
4

TOKYO: Jepun akan mengumumkan strategi diplomatik yang baharu berteraskan prinsip kawasan kelautan yang aman dipandukan oleh undang-undang.

Shinzo Abe_0000Strategi itu diumumkan oleh Perdana Menteri Shinzo Abe di Nairobi, Afrika semalam seperti dilaporkan media Jepun hari ini.

Strategi diplomatik itu memberi tumpuan terhadap kawasan Laut Pasifik dan India yang benas dan terbuka.

Ia dilihat sebagai satu usaha untuk mengukuhkan hubungan dengan dua benua bagi memungkinkan kewujudan komuniti antarabangsa yang stabil dan makmur.

Menjelas lanjut Abe berkata, Jepun memikul tanggungjawab memupuk dan mengukuhkan kawasan laut terbabit sebagai kawasan yang menghargai kebebasan, undang-undang, ekonomi pasaran, bebas daripada kekerasan dan menjadikannya kawasan makmur.

Pendekatan ini katanya bertentangan dengan strategi China yang menggunakan pendekatan maritim yang agresif.

Kapal China telah menceroboh kawasan perairan Jepun beberapa kali sehingga menimbulkan ketegangan dalam hubungan dua hala.

China juga menuntut kawasan Laut China Selatan yang begitu luas sehingga ke laut tidak jauh dari Miri, Sarawak.

Tindakan agresif China telah mencetuskan konflik hubungan dengan Vietnam, Filipina, Brunei, Malaysia dan Indonesia.

Ujar Perdana Menteri Jepun, strategi baharu itu adalah pengganti diplomasi yang menggunakan perspektif panaromik peta dunia.

Hakikatnya, penganalisis antarabangsa berpendapat bahawa pengumuman Jepun itu adalah sebagai usaha untuk mengukuhkan kedudukannya dalam persaingan ekonomi.

Pengumuman Abe dibuat di Persidangan Antarabangsa Tokyo keenam tentang Pembangunan Afrika di Nairobi.

Dalam ucaptamanya beliau mengumumkan ikrar Jepun untuk melabur sebanyak ¥3 trilion (RM12 trilion) di Afrika dalam tempoh tiga tahun daripada pembabitan sektor awam dan swasta.

Pelaburan berkenaan adalah untuk prasarana, sistem kesihatan, tenaga dan usaha menentang pengganas.

Kata The Japan News, ikrar baharu itu bertujuan untuk meneruskan dan mengembangkan bantuan bagi menimbal bantuan China yang menjadi pesaing Jepun.

China telah secara agresif mengukuhkan pengaruhnya di rantau Afrika melalui bantuan kewangan dan pelaburannya. – Sarawakvoice.com

AWANG BOLKIAH ALI, Tokyo