Monday, November 28, 2022

Saberkas sedia kerjasama lahirkan lebih ramai atlet tersohor harumkan nama S’wak

Secara Rawak

KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri melatih dan melahirkan atlet tersohor untuk Sarawak.

Presiden Saberkas merangkap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata Saberkas bekerjasama dengan kerajaan demi mengenal pasti sumber yang mempunyai potensi untuk negeri ini.

“Saberkas memainkan peranan melahirkan atlet yang berwibawa untuk masa depan.

Bercakap di sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Negeri Sarawak ke-49 pada Jumaat, Abang Johari berkata Saberkas sedia menganjurkan pertandingan memilih sumber yang dapat dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri.

Kata Johari, pihak mereka sedia menggunakan semua prasarana yang dibangunkan oleh Kerajaan Negeri seperti Pusat Akuatik sebaik mungkin.

“Kerajaan membelanjakan RM400 juta untuk Sukan Malaysia (Sukma) lepas dan kita tahu anak-anak Sarawak mempunyai potensi dalam acara yang melibatkan terjun.

“Maka kita boleh melatih mereka dari bangku sekolah lagi agar kita mampu melahirkan atlet yang berkemampuan sekali gus mengharumkan nama Sarawak,” kata Abang Johari.

Saberkas turut menyokong sepenuhnya usaha Ketua Menteri menurunkan kuasa daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri.

“Kita harap dengan adanya penurunan kuasa ini, kita dapat memajukan negeri kita dengan lebih efisien sekali gus dapat menunaikan apa yang dikehendaki oleh rakyat jelata,” tambahnya.

Saberkas menyaksikan seramai 30,532 orang ahli baru mendaftar hingga Ogos ini.

Kini jumlah keseluruhan ahli Saberkas ialah 130,000 orang sejak ditubuhkan pada 1970-an.

Pendaftaran ahli Saberkas turut melibatkan pemohon dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Metropolitan University, Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (ICATS) serta Swinburne University. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru