Saturday, December 3, 2022

Rundingan Adenan-Petronas hasilkan persetujuan 7 Perkara yang untungkan negeri

Secara Rawak

KUCHING: Rundingan di antara Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkifli Wan Ariffin di Pejabat Perdana Menteri berlangsung di Putrajaya.

Berikut ialah ringkasan kepada persetujuan 7 Perkara yang disepakati hasil kejayaan rundingan Kerajaan Negeri Sarawak-Petronas seperti dibentangkan oleh Adenan pada sidang media di Bilik Kenamaan, Hornbill Skyway sebaik tiba dari Kuala Lumpur pada Jumaat.

bd20d2bd-627f-4991-aeb9-0dd5a7c03e53

Pertama: Pelantikan rakyat Sarawak sebagai ahli Lembaga Pengarah Petronas yang diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani.

Kedua: Sebanyak 192 jawatan kosong ketika ini diiklankan dalam akhbar tempatan untuk diisi oleh rakyat Sarawak dengan Petronas akan meminta nasihat daripada Kerajaan Negeri jika tiada rakyat Sarawak yang sesuai untuk jawatan tersebut.

Ketiga: Petronas akan menyediakan sehingga 50 tempat kepada rakyat Sarawak untuk melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana muda di Universiti Teknologi Petronas.

Keempat: Petronas memperhebat latihan teknikal bagi rakyat Sarawak dan mendaftar lebih ramai rakyat negeri ini di pusat latihan mereka di seluruh negara.

Kelima: Petronas juga menyatakan komitmen menyokong dua industri petrokimia yang kini dalam rundingan terakhir dan akan menyokong industri hiliran selepas kajian bersama mengenai industri petrokimia dengan Kerajaan Negeri siap.

Keenam: Petronas dengan kerjasama Kerajaan Pusat mempertimbang hasrat Kerajaan Negeri menyertai Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) supaya negeri boleh mendapat manfaat daripada kontrak tersebut.

Ketujuh: Menerima pelan kerja oleh Petronas untuk meningkatkan bilangan rakyat Sarawak dalam peringkat pengurusan dan pengurus kepada 60 peratus, eksekutif (75 peratus) dan bukan eksekutif (95 peratus) menjelang 2020.

Setakat ini, bilangan rakyat Sarawak di empat peringkat terbabit iaitu pengurusan hanya 33 peratus, pengurus (41 peratus), eksekutif (75 peratus) dan bukan eksekutif (95 peratus).

Jumlah pekerja Petronas di Sarawak ketika ini adalah seramai 5,190 orang dengan 3,880 daripadanya merupakan rakyat tempatan, manakala 1,310 orang lagi bukan rakyat Sarawak.

Adenan berpuas hati dengan perkara yang dicapai setakat ini dan beliau mahu semua pihak berhenti membuat sebarang kenyataan berhubung isu ini demi kebaikan bersama. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru