Persimpangan pejalan kaki paling sibuk di dunia di Tokyo

0
14

TOKYO: Jika ke Jepun anda tidak ke Hachiko, kunjungan anda dianggap belum lengkap.
Hachiko ialah persimpangan empat bagi pejalan kaki di Shibuya.

Persimpangan berkenaan dianggap paling sibuk dan paling ramai orang menyeberang pada satu-satu masa. Pada waktu puncak, ketika pekerja pejabat keluar makan tengah hari seramai sekitar tiga ribu orang berpusu-pusu dari empat arah bertentangan.

Pada waktu biasa sekitar seribu orang menyeberangi persimpangan berkenaan. Tidak hairanlah persimpangan itu merupakan persimpangan yang paling sibuk di dunia. Tokyo dengan 13 juta jiwa memang sesak tidak kira di dalam tren atau jalan.

Di persimpangan Hachiko berdepan stesen JR Shibuya ramai orang keluar dari stesen berkenaan. Ada yang berkunjung ke situ semata-mata untuk melihat gelagat manusia.

Petang tadi saya berkesempatan merasai sendiri suasana di persimpangan itu.

Saya turut berada di situ selama 10 minit untuk menyaksikan sendiri hiruk-pikuk dan kesibukan di lokasi berkenaan. Persimpangan itu dikelilingi pusat beli-belah mewah sepanjang jalan. Bagi mereka yang pertama kali berpeluang menjejakkan kaki ke persimpangan itu, mereka merakamkan pengalaman tersebut sebagai kenangan manis berada di Tokyo.

Ada pelancong yang sengaja minum di restoran sekitarnya semata-mata untuk menyaksikan sendiri suasana menarik itu.

Sebenarnya persimpangan itu dikenali sebagai “BIG ONE”.

Nama Hachiko pula bersempena nama seekor anjing keturunan raja yang dijaga oleh seorang bangsa orang putih. Anjing itu telah menjadi anjing peliharaan lelaki tersebut untuk sekian lama dan sering menunggu tuannya balik dari kerja di hadapan stesen berkenaan setiap hari lalu berjalan beriringan kembali ke rumah.

Namun pada suatu hari tuannya mati semasa mengajar di universiti dan anjing itu setia menunggu kepulangan tuannya yang tidak kunjung tiba selama sembilan tahu lamanya sehinggalah Hachiko mati.

Sesungguhnya anda perlu ke Hachiko untuk merasai pengalaman di persimpangan paling sibuk di dunia. AWANG BOLKIAH ALI, Tokyo – Sarawakvoice.com