Sunday, December 5, 2021

Pasar Lama Tebingan Kuching gamit kedatangan 50,000 pelancong yang tertarik keramahan orang S’wak

Secara Rawak

KUCHING: Pasar Lama Tebingan Kuching mempunyai banyak daya tarikannya yang tersendiri sehingga berjaya menggamit kehadiran lebih 50,000 pelancong asing dari pelbagai negara ke Kuching tahun ini.

Perayaan Kuih Bulan setiap tahun yang dianjurkan Persekutuan Persatuan Komuniti Bahagian Kuching merupakan salah satu sebab menjadikan pasar lama dikenali semua lapisan masyarakat.

“Pasar ini banyak menyumbang kepada ekopelancongan sekali gus meningkatkan ekonomi Sarawak,” kata Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sempena Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke-20 Persatuan Komuniti Pasar Lama di hotel terkemuka pada Jumaat malam, Taib berkata sikap warga Sarawak yang mesra dan ramah selama ini banyak membantu menarik lebih ramai pelancong bertandang.

“Kita masih mampu menarik orang datang disebabkan sikap ramah dan keterbukaan warga kita selain kebolehan kita duduk bersama dalam pelbagai kaum.

“Perkara ini telah pun kita kekalkan sejak bergenerasi, malah sejak generasi saya dahulu dan berharap ia dapat berterusan untuk generasi kini dan generasi masa hadapan,” ujar Taib.

Sepanjang tahun lepas Sarawak menerima 4.5 juta pelawat dan tahun ini mencatatkan peningkatan.

Usaha ini dibantu semua pihak termasuk kementerian dan pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Selain itu, kepelbagaian budaya Sarawak telah memikat hati pelancong.

Justeru, Taib berharap rakyat negeri ini mengekalkan daya tarikan yang ada agar pertumbuhan ekonomi Sarawak dapat diteruskan.

“Saya berharap kita mengekalkan semua ini kerana pelancong amat menghargai perkara yang terdapat di Sarawak, setelah mereka merasa dialu-alukan oleh penduduk tempatan,” ujarnya.

Menyentuh tentang The Waterfront Hotel, yang dibangunkan berhampiran pasar lama, ia sebagai penanda aras yang berjaya menjadi nilai tambah yang menyokong pelancongan di kawasan ini.

Taib berharap Persatuan Komuniti Pasar Lama serta penduduk setempat mengambil peluang yang ada agar sektor pelancongan Sarawak terus meningkat dari setahun ke setahun.

Persatuan Komuniti Pasar Lama ditubuhkan oleh daripada ahli perniagaan dan residen dari tempat bersejarah di Kuching termasuk Main Bazar, Lebuh Carpenter, Jalan Tun Abang Haji Openg, Lebuh Wayang, Lebuh China, Lebuh Bishop Gate dan Jalan Wawasan 2020. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru