SIBU: “Kalau Parti Rakyat Sarawak (UPP) boleh, kenapa tidak kami?” kata Timbalan Setiausaha Agung Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Banyi Beriak berhubung masa depan parti itu.

Beliau mengulas tentang kebenaran yang diberikan kepada UPP untuk kekal sebagai parti mesra BN sambil menunggu kelulusan untuk menjadi sebahagian daripada ahli komponen Barisan Nasional.

upp teras_0000

Beriak seperti yang dikutip The Borneo Post berkata, Teras mempunyai 30,000 penyokong kuat dan seharusnya tidak dipandang enteng kerana angka-angka ini memberi bayangan betapa sesebuah parti politik itu kuat, kukuh atau sebaliknya.

Katanya, kehadiran 450 pemimpin akar umbi parti itu yang mewakili 26 cawangan yang berdaftar pada Majlis Solidariti dan Ulang Tahun ke-3 parti itu malam tadi, di sini membuktian pengaruh dan ‘taring’ parti itu masih ada.

Majlis itu dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Pakan, yang juga Ahli Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom. Beliau yang juga bekas Presiden Teras bagaimanapun tidak membuat sebarang ucapan pada majlis tersebut.

Jelas Beriak, kecuali Mawan, Paulus Palu Gumbang dan Rosey Yunus, tiada ahli lain daripada parti itu yang melepaskan jawatan masing-masing.

“ Justeru parti itu harus dilihat sebagai relevan, kekal kuat dan akan menambahkan keahliannya dalam program-program jerayawara akan datang,” jelasnya.

Teras katanya lagi, masih setia kepada perjuangan BN dan berharap kepimpinan BN akan menghargai dan mengiktiraf kesetiaan ini.

“ Ketika ini semua ahli mahu Mawan, Paulus dan Rosey kembali ke pangkuan Teras, ” tegasnya.

Teras ditubuhkan pada 28 Ogos 2013 sebagai parti serpihan daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).