Saturday, October 8, 2022

Ronny Harun, wakil tunggal Sarawak sertai kem latihan pusat kebangsaan pada 29 Ogos

Secara Rawak

KELANA JAYA: Hanya Ronny Harun menjadi wakil tunggal Sarawak yang disenaraikan dalam 24 pemain yang dipanggil ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee mengikuti kem latihan pusat skuad kebangsaan yang akan bermula 29 Ogos ini.

Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaysia menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bertemu Indonesia di Stadium Manahan, Solo pada 6 September kelak.

rh

Daripada senarai tersebut, tiga pemain lain adalah daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Mohamad Fadhli Mohd Shas, Mohd Amri Yahyah dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, empat dari Selangor (Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, Ahmad Hazwan Bakri, Veenod A/L Subramaniam, Adam Nor Azlin), tiga Kelantan (Khairul Fahmi Che Mat, Brendan Gan Seng Ling, Wan Zack Haikal Wan Nor) dan tiga JDT II ( Mohammad Amer Saidin, Mohd Irfan Fazail, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak)

Tiga pemain pasukan Perak turut terpilih iaitu Shahrul Mohd Saad, Nazirul Naim Che Hashim dan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy) selain dua pemain PDRM (Abdul Latiff Suhaimi, Muhammad Fakrul Aiman Sidid).

Turut dipanggil Baddrol Bakhtiar (Kedah), Ahmad Fakri Saarani (KL Felda United), Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka) Matthew Thomas Davies (Pahang) dan Muhammad Safawi Rasid (T-Team)

Daripada senarai 24 pemain kali ini, hanya 11 pemain dikekalkan daripada skuad ke siri Jelajah Oceania 2016 pada Jun lalu iaitu penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, Fadhli Shas, Khair Jefri Jones, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Baddrol Bakhtiar, Ahmad Fakri Saarani, Abdul Latiff Suhaimi, Brendan Gan, Amri Yahyah, Zaquan Adha Abd Radzak dan Ahmad Hazwan Bakri.

Sementara 13 pemain lain tidak tersenarai kali ini termasuk enam pemain yang mengalami kecederaan dan dalam pemulihan iaitu penjaga gol Izham Tarmizi Roslan, Junior Eldstal, Fazly Mazlan, Mahalli Jasuli, Shahrom Kalam dan Christie Jayaseelan.

Empat pemain yang digugurkan ialah penjaga gol Farhan Abu Bakar, S Chanthuru, Amirulhisyam Awang Kechik dan S Kumaahran.

Sebanyak empat pemain telah bersara daripada pentas antarabangsa iaitu Aidil Zafuan Abd Radzak, S Kunanlan, Amirulhadi Zainal dan Safiq Rahim dan mereka turut tidak disenaraikan.

Sebagai ganti, Kim Swee telah memanggil seramai 13 muka baharu terdiri daripada penjaga gol Khairulazhan Khalid, S Veenod dan Adam Nor Azlin (Selangor), penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Saad (Perak), Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Amer Saidin dan Irfan Fazail (JDT II), Fakrul Aiman Sidid (PDRM), Ronny Harun (Sarawak), Matthew Davies (Pahang) dan Safawi Rasid (T-Team).

Kesemua 24 pemain yang disenaraikan itu perlu melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin ini kecuali tiga pemain – Adam Nor, Davies dan Safawi yang hanya akan melapor diri pada Rabu, 31 Ogos selepas selesai beraksi bersama skuad B-22 negara untuk perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Bahrain B-22 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Bagi Kim Swee, banyak perubahan terpaksa dilakukannya kerana masalah kecederaan dan pemain-pemain yang bersara.

“Jadi rata-rata pemain dipanggil kali ini terdiri daripada pemain muda yang mempunyai pengalaman antarabangsa di peringkat remaja sebelum ini dan dipanggil semula untuk skuad senior bagi memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan sesuatu.

“Sebagai contoh, Irfan Fazail sebelum ini mempunyai pengalaman luas beraksi bersama Harimau Muda di Sukan SEA dan kelayakan Olimpik.

“Jadi pasti ini satu cabaran buat dirinya termasuk juga Amer Saidin dan Wan Zack Haikal yang dipanggil semula untuk membuktikan yang mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Bagi pemain yang digugurkan pula, salah seorangnya iaitu penjaga gol, Farhan Abu Bakar terpaksa diketepikan kerana tidak diturunkan oleh pasukannya, Kedah dan saya memanggil Hafizul Hakim yang menunjukkan prestasi baik bersama-sama pasukan Perak.

Hafizul yang baru berusia 23 tahun merupakan antara pelapis penjaga gol negara dan Kim Swee akan memberi ruang untuk mencubanya.

“Mungkin bukan ketika bertemu Indonesia ini kerana saya mahu menilainya dalam latihan terlebih dahulu sebelum memutuskannya untuk pemilihan akan datang.

Kata Kim Swee lagi, tempoh masa singkat untuk kem latihan pusat kali ini dan jadual liga yang padat menyebabkan beliau tidak dapat melakukan banyak perkara.

“Jadi apa yang perlu saya fikirkan sekarang ialah membentuk kombinasi tertentu selepas kesebelasan ketika bertemu Timor-Leste dan siri Jelajah Oceania tidak dapat bersama-sama pada kali ini.

Beliau berharap kesemua 24 pemain yang dipanggil ini dapat bermain secara berpasukan dengan lebih baik biarpun dibentuk dalam tempoh yang singkat.

“Ini pemain terbaik yang saya lihat ketika ini dan mereka harus membuktikan yang mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa sebelum saya memutuskan untuk persiapan yang akan datang.”

Sementara itu, Ronny Harun, 32, ketika dihubungi sebentar tadi berkata, beliau terharu dengan kepercayaan yang diberikan oleh Kim Swee dan berjanji akan memberikan komitmen yang tinggi baik dalam latihan mahupun jika diberi peluang untuk beraksi.

“Saya baharu pulih daripada kecederaan patah jari kaki. Kerana itu saya berasakan peluang yang diberikan ini tidak harus disia-siakan,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru