Sunday, January 23, 2022

Malaysia mohon bantuan Indonesia biak kembali spesies badak Sumatra yang diancam kepupusan teruk – Wan Junaidi

Secara Rawak

KUCHING: Malaysia sedang berbincang dengan Indonesia bagi memperoleh benih daripada negara itu untuk membiakkan kembali spesies badak Sumatra yang kini diancam kepupusan teruk di negara ini.

wjjj

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ketika ini hanya terdapat tiga ekor spesies badak tersebut di Malaysia, dengan dua daripadanya, betina yang hanya subur dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan rakan sejawat saya di Indonesia, Ibu Siti Nurbaya Bakar dan beliau memberitahu badak daripada spesies yang sama baharu melahirkan tujuh ekor anak di negara itu.

“Sehubungan itu, kita sedang memikirkan beberapa kaedah termasuk mendapatkan benih daripada badak negara itu, dan menjadikan dua ekor badak betina yang kini berada di Sabah sebagai ibu tumpang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusika mesyuarat perancangan pembinaan masjid di kawasan Parlimen Santubong pagi ini.

Menurut Wan Junaidi, inisiatif lain termasuklah mengadakan perbincangan lanjut dengan Perhilitan serta menjadikan program “The Heart Of Borneo” sebagai landasan untuk membiak kembali populasi spesies badak ini.

wjyhSemalam Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA) Datuk Dr John Payne berkata, mereka kini sedang melaksanakan misi khas bagi menyelamatkan badak-badak ini.

“Tiga badak Sumatra ini telah ditangkap dan diletakkan di dalam kandang khas untuk tujuan program pembiakan,” katanya sewaktu majlis pratonton dokumentari Uncover Malaysia bertajuk ‘Operation Sumatran Rhino’ di Sunway Pyramid.

Dr John Payne berkata, ancaman pemburu menjadi punca badak-badak ini pupus kepada hanya tiga ekor di Malaysia.

Menurutnya, bagi menyelamatkan populasi badak spesies ini, pihaknya telah mengadakan proses pembiakan luar rahim atau IVF, yang pusingan seterusnya dijangkakan pada November depan.

“BORA berjuang habis-habisan untuk menyelamatkan badak Sumatra terakhir Malaysia ini daripada pupus. Satu-satunya cara dalah dengan menangkap spesies yang terakhir kawasan hutan dara, yang bukan sahaja berbahaya malah menelan kos yang tinggi dan membiakkan mereka,” katanya.

Badak Sumatra merupakan spesies yang terkecil dalam keluarga haiwan itu di dunia dan satu-satunya di Asia yang memiliki dua tanduk.

Ia melahirkan seekor anak setiap tiga atau empat tahun sekali dan mengandung selama 15 ke 17 bulan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru