Monday, August 15, 2022

Idea bernas basmi aedes, jual sampah timbang kilo kepada Majlis Perbandaran Sibu

Secara Rawak

SIBU: Demi membendung pembiakan aedes, Majlis Perbandaran Sibu (MPS) sedia menggunakan kempen kutipan sampah di Jalan Tiong Hua dan Jalan Merlin menggunakan kaedah bayaran “timbang kilo”.

Timbalan Pengerusi MPS Rogayah Jemain berkata, bayaran itu diberikan kepada penduduk yang sanggup mengumpul sampah di kawasan kediaman masing-masing.

“Ini mungkin idea yang baik untuk menyelamatkan kawasan Tiong Hua dan Merlin yang mencatat jumlah kes denggi tertinggi setakat ini,” ujar Rogayah.

“Untuk menarik minat penduduk di sini menjaga kebersihan di kawasan rumah, kita (MPS) mencadangkan setiap sampah dikutip oleh penduduk diberi bayaran,” ujar Rogayah semasa mengadakan pemeriksaan di kawasan “hot spot” pembiakan aedes pada Khamis.

MPS mahu melibatkan penduduk setempat membasmi masalah pembiakan nyamuk aedes setempat dan ia memerlukan kesedaran tinggi penduduk.

Sebelum ini, pelbagai kempen diadakan, namun kes denggi tetap meningkat di kedua-dua kawasan ini.

Salah satu faktor hal ini berlaku adalah disebabkan sistem perparitan yang agak uzur di samping sikap penghuni yang suka membuang sampah-sarap sesuka hati.

Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kesihatan Awam MPS, Kaunselor Rhoda Ting yang turut mengiringi Rogayah bersama staf Jabatan Kesihatan Sibu, menyokong idea bernas ini.

Beliau berpendapat selama ini MPS mengupah kontraktor mengutip sampah-sarap serta membersihkan longkang atau parit di kedua-dua kawasan terbabit.

Justeru, upah tersebut ada baiknya diberikan kepada penduduk sendiri yang mahu terlibat dalam kempen kebersihan, selain memupuk kesedaran diri.

Ting berkata, kedua-dua kawasan perlu diselamatkan daripada wabak denggi demi kesejahteraan penduduknya.

Bagaimanapun, Rogayah memberitahu idea itu hanya di peringkat cadangan dan akan dikemukakan pada Mesyuarat Bulanan MPS Jumaat, hari ini.

“Kita cuma cadangkan saja, ia terpulang kepada kaunselor setuju atau tidak. Idea itu adalah untuk jangka pendek dengan kempen kebersihan diadakan secara bayaran timbang kilo itu,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru