Hubungan Jepun-China dijangka terus tegang

0
5

TOKYO: Mesyuarat antara menteri luar Jepun dengan China disifatkan gagal meredakan ketegangan yang telah memuncak sejak kapal kerajaan China sering menceroboh wilayah kelautan Jepun berdekatan Pulau Senkaku pada awal bulan ini.

reading-of-three-party-statement

Pemerhati politik antarabangsa di sini bimbang keadaan hubungan dua hala akan semakin tegang.

Mesyuarat antara menteri luar Jepun Fumio Kishida dan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi merupakan yang pertama sejak pencerobohan.

Kishida menyuarakan protes kuat beliau terhadap Wang terhadap pencerobohan yang kerap dilakukan China terutama di kawasan perairan di sekitar wilayah Okinawa.
“Jika keadaan bertambah baik di Laut China Timur, saya mahu memperbaiki hubungan dua hala melalui dialog termasuk pertemuan antara Perdana Menteri Shinzo Abe dengan Presiden China Xi Jinping,” kata Kishida seperti dipetik The Japan News hari ini.

Wang mengakui penting mengelakkan keadaan Laut China Timur yang semakin memburuk dan mengelakkan keadaan yang tidak dijangka.

Namun, selepas pertemuan itu Wang pantas mengkritik komen Kishida tentang kemungkinan mengadakan pertemuan Ane-xi pada Sidang Puncak G20.

Keadaan janggal berlaku antara Kishida dan Wang ketika mesyuarat tiga hala sebelumnya dengan menteri luar Korea Selatan Yun Byung Se.

Kishida dipetik media di sini sebagai berkata, China sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB sepatutnya tangani isu berkenaan pencerobohan laut dengan lebih bersungguh-sungguh.

Bagaimanapun, dalam mesyuarat dan sidang akhbar seterusnya, Wang tidak mahu melepaskan peluang menyindir Jepun dengan berkali-kali menyebut pentingnya bersemuka dengan sejarah secara adil.

Kerajaan Jepun berhasrat untuk memulihkan hubungan dengan China melalui perbincangan tiga hala antara menteri luar dan mesyuarat G20.

Namun pencerobohan kapal China ke dalam kawasan perairan Jepun telah mengecewakan Jepun yang memberi perhatian terhadap dialog.

China turut berdepan masalah berkaitan isu tuntutan kawasan kelautan dengan beberapa negara Asean, iaitu Vietnam, Filipina, Brunei, Malaysia dan Indonesia. – Sarawakvoice.com

AWANG BOLKIAH ALI di Tokyo