KUCHING: 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) kini sedang melaksanakan pelan pemulihan dalam menukar persepsi masyarakat terhadap syarikat itu, selepas terpalit dalam isu dan kontroversi kewangan terbesar abad ini.

Menurut sumber yang rapat dengan syarikat itu, tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh media sosial, syarikat itu kini melepasi “tahap hijau” pelan rasionalisasinya, dengan memiliki simpanan bernilai lebih RM2.3 bilion, hasil lebihan jualan asetnya, sebahagian daripada Bandar Malaysia.

2a58f05e-6ad7-48b6-871f-67a36f12cfaa

“Malah syarikat ini berjaya menyelesaikan semua hutang-piutang bank dan hutang jangka pendeknya, menerusi penjualan beberapa aset.

“Ia kini sedang membangunkan beberapa projek berimpak tinggi termasuk Projek Tun Razak Exchange (TRX) dan projek pembangunan di Pulau Pinang yang mampu memberi keuntungan jangka panjang kepada syarikat tersebut,” kata sumber tersebut lagi.

Sebelum ini, syarikat pelaburan dan terbitan dana milik kerajaan itu berhadapan dengan pelbagai isu perniagaan, berikutan wujudkannya ketidakseimbangan aliran tunai selain dibebani hutang lebih RM50 bilion.

Syarikat itu malah perlu membayar faedah RM2.4 bilion pada tahun 2014 dan lebih RM3 bilion pada 2015, kerana hutang jangka pendeknya.

Atas kekukuhan dan jaminan tersebut katanya, syarikat tersebut yang sedang diheret oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) menerusi Peguam Negaranya, Loretta Lynch sedang berusaha mengubah persepsi negatif yang menyelubunginya.

“Dalam kes ini, banyak persepsi yang tidak tepat digambarkan terhadap 1MDB, kerana tuduhan oleh DOJ dan penyitaan aset di Amerika Syarikat itu hanya membabitkan tiga individu yang dinamakan.

“1MDB dan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak malah tidak terlibat dan terbabit dalam proses itu.

“Ia hanya permainan persepsi pihak tertentu, yang memutar belit dan memanipulasi keadaan ini,” tegasnya .

Jelasnya lagi, dalam situasi ini, 1MDB sebenarnya adalah “mangsa” dan bukannya pihak yang melakukan penyelewengan dan penipuan seperti yang didakwa.

Pada masa yang sama kata sumber itu lagi, 1MDB sebagai pelabur, yakin pihaknya berada pada landasan yang tepat dalam memulihkan syarikat itu selepas melaksanakan pelan perniagaan yang gagal sebelum ini.

“Kita tidak dapat mengawal, malah tidak tahu bagaimana syarikat-syarikat ini menggunakan wang yang dilaburkan kita ini kerana masing-masing syarikat memiliki kaedah dan strategi perniagaan tersendiri,” katanya. – Sarawakvoice.com