Saturday, December 3, 2022

RM40 juta bantu 2,500 miskin tegar e-Kasih 1AZAM Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM40 juta kepada Kementerian Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti (KKWKK) bagi membantu 2,500 golongan miskin tegar yang berdaftar di bawah e-Kasih menerusi Program 1AZAM di Sarawak.

Menterinya, Datuk Fatimah Abdullah berkata, “Kita memperoleh peruntukan itu kerana Sarawak adalah negeri tertinggi miskin tegar dan miskin.”

Melalui program 1AZAM, usaha giat dilaksanakan bagi membasmi kemiskinan tegar di Sarawak kata Fatimah selepas Mesyuarat Fokus Kumpulan Pembasmian Kemiskinan Peringkat Negeri Sarawak 2016 di Wisma Bapa Malaysia pada Rabu.

Beliau berkata, untuk mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) sifar miskin tegar menjelang 2018, pelbagai pendekatan perlu dilakukan daripada semata-mata bergantung dengan 1AZAM.

Fatimah berkata, “Kerajaan menyasar untuk menangani masalah kemiskinan di negeri ini menjelang 2018.

“Untuk mencapainya kita akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain, yang mempunyai program yang sama dan matlamat untuk membasmi kemiskinan.

Bekerja dengan jabatan dan agensi lain, pihaknya dapat memberi tumpuan bersepadu, holistik dan tersusun baik.

Bermula Januari hingga 15 Ogos tahun ini, seramai 112,426 ketua isi rumah mendaftar di bawah e-Kasih.

Mereka terdiri daripada 30,311 kategori miskin tegar, 36,087 kategori miskin, 5,786 berisiko miskin dan seramai 40,242 telah dikeluarkan daripada senarai.

Mereka yang dikeluarkan daripada senarai, termasuk yang berkahwin, meninggal dunia, pengesahan daripada Focus Group, tidak dapat dikesan atau pendapatan bertambah baik.

Program 1AZAM diteruskan di Sarawak bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan selain mengesan individu yang masih belum mendaftar di bawah e-Kasih khususnya di luar bandar.

“1AZAM yang dilaksanakan membantu golongan miskin akan menaik taraf pendapatan mereka sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan,” ujar Fatimah. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru