Friday, December 2, 2022

Ketika Crush kolaborasi Usher panas di Billboard Amerika, Yuna kesal media tanah air siar parodi rasis

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Berhubung isu video parodi Jihan Muse dan Syuk Balas yang ditayangkan dalam MeleTOP milik Astro, Yuna sekali lagi melahirkan rasa kesalnya atas penerbitan bahan yang berunsur perkauman itu.

Kedua-dua penghibur tersebut menjadikan lagu “Crush” dari album “Chapters” nyanyian kolaborasi Yuna-Usher sebagai modal hiburan, namun disifatkan oleh Yuna sebagai tidak patut berlaku kerana tidak sensitif.

Lagu Crush menduduki tangga top 20 untuk berada pada tangga ke-18 dalam carta Adult R&B Songs, Billboard di Amerika Syarikat, hujung April lepas.

Sementara, album Chapters yang diedarkan sejak Mei lalu menduduki Top 10, melonjak pada tangga ke-8 pada minggu pertama disenaraikan 11 Jun lepas.

Yuna mampu membariskan dirinya bersama penyanyi global lain seperti Beyonce di tangga pertama, Rihanna tangga kedua dan Prince tangga ketujuh dalam carta Billboard kategori R&B terbaik.

Dalam isu parodi berkenaan, Yuna terpaksa tampil menyuarakan rasa tidak puas hatinya kerana tidak mahu disalah tafsir oleh peminat di Barat.

“Saya rasa ada segelintir pihak di sini tidak faham dengan situasi saya di sana.

“Saya memang patut bersuara menjelaskan perkara sebegitu kerana ia boleh menjejaskan kerjaya saya di sana,” kata Yuna yang kini menetap di Los Angeles, AS.

Penerbit MeleTOP sudah memohon maaf pada 5 Ogos lalu berikutan siaran video parodi terbabit pada 2 Ogos lalu.

Video parodi lagu Crush menampilkan Jihan dan Syuk yang digelapkan wajahnya berlakon sebagai Usher berkulit hitam.

Yuna berkata, sudah beberapa kali video parodi berkaitannya dibuat, tetapi apabila membabitkan soal perkauman, gurauan itu sepatutnya tidak boleh dikompromi.

Yuna memberitahu kebanyakan orang yang bekerja dengan beliau di AS ialah golongan kulit hitam termasuk Usher.

“Mana saya hendak letak muka apabila mereka dapat tahu ia menjadi bahan gurauan di Malaysia?” katanya.

Isu Yuna berpelukan dengan Usher turut pernah menjadi viral dan beliau menyifatkan orang tidak faham situasi kerjayanya.

Yuna antara penyanyi dari seluruh dunia yang terpilih menjayakan kempen The Olympic Games Rio 2016 menerusi lagu “The Fire” terbitan Questlove.

Yuna bergandingan dengan Lenny Kravitz, Diogo Nogueira, Nneka dan Corrine Bailey Rae dalam lagu tersebut

Dalam pada itu, Yuna anak Kedah itu sibuk dengan persiapan untuk American Tour Yuna di 15 lokasi.

Dalam perkembangan terbaru, Yuna tampil berkolaborasi dengan artis lelaki yang “boom” di tanah air.

Sebagai rekod, selain Yuna, penyanyi kelahiran Miri, Sarawak, Zee Avi nama sebenar Izyan Alirahman, 31 pernah mencatat sejarah di peringkat antarabangsa apabila album pertamanya berjudul “Zee Avi” berada di tempat kedua carta Billboard Top Heatseekers 2009.

Manakala, album keduanya “Ghost Bird” berjaya mendapat menduduki tangga paling atas carta yang sama di AS pada 2011. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru