Demonstrasi tuntut Petronas ambil semula 600 pekerja, kembalikan 20 peratus royalti S’wak

0
3

MIRI: Ambil semula 600 pekerja tempatan yang diberhentikan merupakan salah satu daripada enam usul dituntut dalam demonstrasi di hadapan bangunan Petronas Carigali Operasi Sarawak di Lutong.

Memorandum berkenaan diserahkan oleh Matthew Baba, 53, kepada wakil Petronas dalam demonstrasi aman 11 pagi Rabu, disertai peserta antaranya bekas pekerja luar pantai.

Petronas menghentikan 600 pekerjanya ekoran berlaku krisis harga minyak baru-baru ini.
Paling kontroversi apabila Petronas memansuhkan 29 jawatan tetap yang mengakibatkan pemberhentian 13 kakitangan berpengalaman anak Sarawak.

Manakala, majoriti jawatan kanan dipenuhi oleh pegawai bukan rakyat Sarawak.

Lima perkara lain yang dituntut dalam memorandum tersebut ialah meminta Kerajaan Pusat mengembalikan 20 peratus royalti minyak kepada Sarawak seperti yang pernah dituntut oleh Kerajaan Negeri.

Usul lain ialah meminta Petronas memberi peluang pekerjaan dengan memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak, terutama untuk operasinya di negeri ini.

Petronas juga diminta agar memberi peluang lebih banyak kepada usahawan dari Sarawak dalam mendapat kontrak yang ditawarkan.

Ia bertujuan memastikan anak Sarawak berpeluang mendapat faedah atau manfaat daripada sektor minyak dan gas.

Usul lain dalam memorandum tersebut meminta Petronas bersikap lebih telus dalam laporan penggajian bagi pekerja rakyat tempatan.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sarawak membekukan semua permohonan permit bekerja bagi pekerja luar Sarawak di negeri ini berkuat kuasa 7 Ogos lalu. – Sarawakvoice.com