Tuesday, June 28, 2022

Program Transformasi Industri Teksi SPAD seksa pemandu teksi konvensional?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) perlu meneliti semula pelaksanaan Program Transformasi Industri Teksi dan melaksanakannya secara berperingkat-peringkat.

Dengan mengkaji senario sebenar permasalahan yang wujud, tindakan SPAD seharusnya mampu mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh pemandu teksi hari ini khususnya pemandu teksi konvensional.

Dalam kenyataan akhbarnya kepada SarawakVoice, Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Ir Hj Khairil Nizam Khirudin meluahkan simpati dan prihatinnya dengan nasib pemandu teksi terutama golongan peringkat umur 45 tahun ke atas kerana terpaksa bergelut untuk meneruskan hidup di Kuala Lumpur.

“Mereka sukar beradaptasi dengan perubahan industri, akhirnya menjadikan diri mereka terus terpinggir,” ujar Khairil.

Tanpa menafikan peranan penggunaan teknologi ke atas perubahan industri teksi, Khairil mempersoalkan, “adakah Program Transformasi Industri Teksi melalui 11 program yang diusulkan oleh SPAD mampu mengatasi permasalahan sebenar pemandu teksi konvensional ini?”

Antara isu yang membelenggu pemandu teksi ialah kos struktur yang terpaksa ditampung disebabkan oleh sistem sewa beli atau pajakan dengan syarikat pengusaha teksi.

Jika purata sehari kadar sewa yang perlu dibayar kepada syarikat ialah RM50, maka jumlah sewa sahaja yang perlu dibayar mencecah sehingga RM1,200 (24 hari bekerja).

Menurut maklumat yang diperoleh, Khairil berkata, pendapatan pemandu teksi konvensional sekarang terjejas teruk setelah penggunaan Uber dan Grab.

Pemandu teksi konvensional yang majoritinya menggunakan sistem sewa beli atau pajakan ini sekarang bergelut dengan persaingan yang terlalu kompetetif.

“Kadar sewa yang tinggi tidak termasuk bayaran NGV, PUSPAKOM dan lain-lain telah menyebabkan pendapatan mereka semakin susut,” tegas Khairil lagi.

Mereka terpaksa membayar kos yang tinggi kerana ingin mendapat sesuap nasi sedangkan pemandu Uber dan Grab hanya dikenakan potongan bayaran 20 peratus atas jumlah pendapatan yang diperoleh.

Selain itu, menurut Khairil ramai pemandu teksi konvensional mengeluh dengan pemeriksaan berkala yang terpaksa dilakukan di Puspakom.

“Kadar bayaran pemeriksaan dikenakan termasuk bagi kali kedua serta tiadanya peluang untuk memilih bengkel, selain Puspakom.

SPAD digesa melihat senario sebenar permasalahan ini supaya mutu perkhidmatan teksi mencapai piawaian sebenar. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru