Thursday, December 8, 2022

Polis Sarawak semakin pantas selesaikan kes, orang ramai diminta jangan buat spekulasi kes dalam siasatan – Pesuruhjaya Polis Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, beliau berpuas hati dengan pencapaian pegawai dan anggotanya yang kini semakin pantas dan cekap dalam menyelesaikan kes-kes yang menjadi kebimbangan orang ramai.

Ini termasuklah kes-kes berprofil tinggi seperti Bill Kayong serta melumpuhkan sindiket curi motosikal terbesar di bandar Sibu kurang tiga jam selepas kes terakhir dilaporkan.

“Kes terkini ialah penculikan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Miri, yang dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika berucap pada majlis minum petang bersama media di Mes Pegawai, Ibu Pejabat Polis Kontijen Sarawak, dekat sini petang semalam.

Ketangkasan lain termasuklah kejayaan polis menyelesaikan satu kes rompakan di Sibu yang membabitkan tiga suspek dan menyebabkan mangsa kerugian wang tunai sebanyak RM3000.

“Kita berjaya mengenal pasti dan menangkap dua daripada suspek berkenaan dalam tempoh 72 jam,” katanya.

Sehubungan itu kata Mazlan, orang ramai dinasihatkan agar tidak terburu-buru membuat andaian dan sebarang spekulasi tentang sesuatu insiden jenayah selagi kes di dalam siasatan pihak polis.

“Kita sentiasa berusaha untuk menyelesaikan kes-kes ini secepat mungkin tetapi pada masa yang sama kita berusaha untuk pastikan maklumat yang diperoleh hasil siasatan adalah lengkap dan betul.

Beliau turut menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang kejadian jenayah yang berlaku kepada pihak polis dan seterusnya membantu pihak polis untuk mengesan penjenayah yang terlibat.

Tiga hari lalu, tindakan cekap seorang mangsa yang segera memaklumkan kepada pihak polis telah membolehkan seorang penjenayah yang berhasrat untuk memecah masuk sebuah rumah berjaya ditangkap oleh anggota polis, kurang 15 minit selepas laporan dibuat.

Malah suspek ditangkap ketika masih berada di dalam kawasan kediaman mangsa di Kuching. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru