Saturday, October 8, 2022

Lima lelaki bersenjata larikan Toyota Hilux, Honda Wave di Kampung Stakan Melayu awal pagi semalam

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Lima lelaki bersenjatakan parang berjaya melarikan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah motosikal jenis Honda Wave dalam satu kejadian rompakan di Kampung Stakan Melayu, sekitar jam 2 pagi semalam.

Suspek yang bertopeng dan bertutur dalam pelat Indonesia itu dikatakan memasuki rumah mangsa dengan mengumpil tingkap yang tidak berjeriji.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata, rumah tersebut merupakan rumah kampung jenis konkrit dan tidak berpagar, seterusnya memudahkan suspek untuk memasukinya.

“Sebaik berjaya masuk ke dalam rumah terbabit, mereka telah menahan dua lelaki dan dua perempuan yang berada di rumah tersebut lalu mengikat mereka dengan menggunakan kabel televisyen.

“Suspek kemudian menyelongkar barangan di dalam rumah, dan selain melarikan kenderaan, mereka turut melarikan barangan kemas, telefon bimbit Samsung J5 dan wang tunai RM400.

Bagaimanapun kata Chong Chern, mangsa tidak diapa-apakan dan berjaya melepaskan diri sebaik suspek melarikan diri.

Kes disiasat di bawa Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan bersenjata. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru