Monday, August 15, 2022

Kecekapan mangsa kesan motosikalnya yang dicuri, bantu polis Sibu tumpas geng curi motosikal

Secara Rawak

KUCHING: Kecekapan pemilik motosikal, seorang pembantu kedai berusia 23 tahun mengecam motosikalnya yang dicuri membantu polis menumpaskan salah satu geng curi motosikal paling aktif di Sibu.

Sebaik sahaja pemilik motosikal Modenas Kriss itu mengenal pasti motosikalnya yang dicuri diparkir di hadapan restoran sekitar 9.30 pagi, dia terus membuat laporan di Balai Polis Sibu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dev Kumar berkata aktiviti geng curi motosikal terbongkar 18 Ogos lepas.

Ekoran itu, polis berjaya membuat rampasan terbesar motosikal curi tahun ini dan menangkap anggota kumpulan tersebut yang terdiri daripada remaja dan seorang anggota polis bantuan

“Kira-kira tiga jam selepas laporan dibuat, Jabatan Siasatan Jenayah ‘Ops Lejang’ diketuai Inspektor Baharuddin Sabang menahan penganggur lelaki berusia 17 tahun di sebuah rumah panjang di Nanga Salim Road,” kata Dev Kumar.

Operasi susulan membawa kepada penahanan suspek kedua, penganggur lelaki berusia 16 tahun.

Manakala, suspek ketiga juga berusia 16, ditangkap sekitar 8 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Batu 25 Jalan Sibu-Bintulu.

Polis kemudian menahan suspek keempat, anggota polis bantuan berusia 21 tahun, di sebuah ladang kelapa sawit di Selangau sekitar 3 petang pada hari berikutnya.

Tangkapan seterusnya pada 5 petang melibatkan seorang buruh berusia 17 tahun, ditahan di sebuah rumah panjang di Bawang Assan.
Sementara, suspek terakhir, lelaki penganggur berusia 17 tahun, ditahan di bandar Sibu.

Siasatan awal mendapati, geng curi motosikal ini terlibat dalam siri kecurian motosikal di Sibu dan Bintulu sejak awal tahun.
Kumpulan ini kemudiannya menjual motosikal curi kepada pekerja ladang kelapa sawit asing.

Susulan penahanan itu, sepasukan polis diketuai ASP Tuan Abdullah Tuan Hasan menjalankan operasi 12 jam mengesan motosikal curi di ladang kelapa sawit di Kilometer 21 Sibu-Bintulu bermula 2 pagi Isnin.

Sejumlah 15 motosikal curi ditemui di pelbagai lokasi di ladang sawit. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru