MIRI: Selepas menukar pengakuan kepada bersalah kerana menyimpan kereta curi, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara16 bulan terhadap Mohd Nasriq Mat, 32.
Nasriq dari Kampung Bukit Bom, Niah didapati menerima atau menyimpan harta curi, kereta merah Proton Wira bernombor pendaftaran QTD30xx milik Iswandi Ahmad.
Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Lovely Natasha Charles setelah menimbang beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam.
Nasriq didakwa melakukan kesalahan itu pada 5.30 pagi, 16 Julai lalu di Simpang Jawa Miri-Bintulu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, jika sabit kesalahan.
Sebelum itu, semasa sebutan pertama kes pada 19 Julai lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan serta minta dibicarakan lanjut.
Mahkamah kemudian menetapkan Selasa, kelmarin bagi pengurusan kes dan tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM2,000 berserta dua penjamin tempatan.
Bagaimanapun, tertuduh telah menukar pengakuan kepada bersalah. – Sarawakvoice.com