Wednesday, June 29, 2022

Dalam 15 tahun, perlukan RM24 bilion hubungkan jalan raya seluruh Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Untuk tempoh 15 tahun akan datang sekitar RM24 bilion diperlukan bagi menghubungkan seluruh kawasan di Sarawak dengan jalan raya.

“Pada 2030, kita mempunyai cabaran besar menghubungkan semua tempat di negeri ini dengan jalan raya dan kita memerlukan sekitar RM24 bilion,” kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing.

“Saya menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan pembiayaan yang diperlukan demi memastikan projek diselesaikan mengikut perancangan,” kata Masing pada sidang akhbar di ibu pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di Wisma Saberkas, Kuching pada Selasa.

Masing, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan (MIDF) diberi taklimat oleh JKR berkaitan projek yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan projek yang dirancang di bawah RMK-11.

Masing berkata beliau berpuas hati dengan JKR yang berjaya melaksanakan projek yang diberikan kepadanya di bawah RMK-10.

JKR melaksanakan lebih 900 projek prasarana bernilai sekitar RM14 bilion mengikut masa ditetapkan.

Dengan pencapaian itu, JKR negeri wajar diberi kepercayaan berterusan oleh Kerajaan Pusat mengendalikan projek prasarana di negeri ini.

“MIDF dan JKR negeri tahu yang terbaik untuk negara dan mempunyai pemahaman lebih baik untuk perunding dan kontraktor melaksanakan projek yang sesuai,” kata Masing.

Berkaitan projek Pan Borneo, Masing berkata kerja berjalan lancar walaupun terdapat beberapa masalah pada peringkat awal seperti isu pengambilan tanah. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru