Monday, August 15, 2022

Tak salah minta Petronas utamakan staf S’wak, nenek moyang telah bincangkan autonomi sejak 1963

Secara Rawak

KUCHING: Tidak ada yang salah dengan Sarawak apabila ia meminta diberi keutamaan oleh Petronas berkaitan isu pekerja tempatan untuk operasinya di Sarawak.

“Gesaan itu, saya percaya munasabah dan tiada apa-apa yang tidak normal dengannya,” kata Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim berkata, sesetengah pihak sengaja menggembar-gemburkan isu ini.
Abdul karim menegaskan “nenek moyang” atau pemimpin terdahulu semasa berunding untuk pembentukan Malaysia pada 1963 telah menekankan isu autonomi imigresen dan meletakkan syarat permohonan permit kerja untuk warga luar yang mahu bertugas di Sarawak.

Abdul Karim berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengerusi Kesatuan Sekerja Malaysia Congress (MTUC) Sarawak Mohd Ibrahim Hamid bahawa kecekapan tidak harus dikompromi dalam usaha mengutamakan pengambilan pekerja Sarawak.

“Saya amat bersetuju kecekapan tidak boleh dikompromi apabila meletakkan keutamaan kepada pekerja tempatan.

Justeru, jemputan ke atas pelbagai pihak di Sarawak beberapa hari lalu adalah demi memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak apabila Petronas atau syarikat berkaitannya meninjau pekerja layak untuk operasinya di Sarawak.

“Jika tidak ada rakyat Sarawak yang layak, pasti ada pegawai dagang atau sesiapa sahaja dari luar Sarawak perlu dipilih,” tegas Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Selepas lebih 50 tahun merdeka, perkara ini dibincangkan menunjukkan wujudnya rasa tidak puas hati di kalangan rakyat Sarawak, justeru Abdul Karim berharap pihak berkepentingan perlu melihat semula perkara ini atau lakukan ratifikasi.

Isu kakitangan Petronas di negeri ini hangat diperbincangkan sejak ia diketengahkan oleh Kumpulan Petroleum Suarah (SPG).

SPG mengungkit isu pemansuhan 29 jawatan tetap yang mengakibatkan pemberhentian 13 kakitangan berpengalaman dari Sarawak oleh Petronas selepas unjuran penstrukturan semula.

Presiden SPG, Hamim Yusuf berkata majoriti jawatan kanan dipenuhi oleh orang bukan rakyat Sarawak.

Sejak itu, rakyat menggesa Kerajaan Negeri membela nasib pekerja warga tempatan yang diberhentikan dalam Petronas. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru