Monday, August 15, 2022

Semata-mata mahu berehat di dalam penjara, lelaki sanggup curi kemeja di pasar raya Miri

Secara Rawak

MIRI: Lelaki yang diserahkan kepada pihak polis atas dakwaan mencuri dua helai kemeja bernilai RM129.80 di pasar raya di Jalan Pos ketika disiasat mengaku, dia sengaja mencuri kerana mahu ditahan agar dapat berehat di penjara.

Suspek terbabit pernah datang ke Balai Polis Pusat Miri dan meminta pihak polis membenarkannya tidur di lokap.

Berkali-kali pegawai polis yang bertugas memintanya agar balik rumah, tetapi dia enggan.

Lelaki berusia 30-an dipercayai kurang siuman ini, awalnya ditangkap pegawai keselamatan kerana mencuri di premis serbaneka dalam pasar raya tersebut, tetapi dibebaskan oleh pengurus selepas suspek memulangkan barang yang dicuri.

Pengurus pasar raya meminta pengawal keselamatan pasar raya agar mengawasi gelagat lelaki berkenaan sehingga dia ditahan untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan memakai kemeja yang dicuri, manakala sehelai lagi kemeja disorokkan di dalam baju yang dipakai.

Suspek gagal menunjukkan bukti resit pembelian sehingga dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru