Wednesday, June 29, 2022

Sarawak perlukan lebuh raya internet selari Lebuh Raya Pan Borneo

Secara Rawak

KUCHING: Internet berkelajuan tinggi penting bagi menggalakkan sektor pelancongan di kawasan luar bandar di negeri ini.

Justeru, prasarana ICT perlu dinaik taraf sehingga 30 megabit sesaat (mbps) minimum dengan pertimbangan kebanyakan kawasan bandar mempunyai antara 50-100mbps kelajuan internet.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, “Bagi menggalak pelancongan di luar bandar, prasarana ICT satu kemestian.

“Kini, pelancong akan meminta kata laluan wi-fi apabila mereka tiba di destinasi.

“Setelah internet dapat diakses pula, muat semula halaman ia sangat lambat atau lebih kecewa, langsung tidak dapat akses,” jelasnya.

“Industri pelancongan banyak bergantung dengan kemudahan internet ini lebih-lebih dalam mempromosikan kawasan pelancongan di luar bandar kepada pelancong.

Bahkan, menurut Abang Johari apabila kita ke luar negara, kita juga melakukan perkara yang sama.

Bercakap di sidang media selepas Pengumuman Ahli Lembaga Sarawak Tourism Board (STB) 2016-2018 pada Isnin, Abang Johari berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesyorkan 5Mbps bagi kawasan luar bandar, namun permohonan beliau mendapatkan minimum 30Mbps telah dipersetujui jawatankuasa.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan berkata di sesetengah kawasan luar bandar, tidak ada internet dan banyak kawasan tidak diliputi satelit.

Beliau berkata pelancongan dikenal pasti sebagai sektor yang mencetus pembangunan kawasan luar bandar bagi membolehkan Sarawak mencapai kadar pertumbuhan lima peratus.

“Kita perlu pembangunan, termasuk di luar bandar, supaya kita mempunyai kekuatan dalam kepelbagaian biologi budaya untuk menarik pelancong.

Beliau berkata pelan pembangunan pelancongan meliputi projek menaik taraf taman negara, mewujudkan lebih banyak rizab semula jadi, taman dan meningkatkan kemahiran bahasa pemandu pelancong terutama untuk bahasa Jepun dan Korea selain bahasa Inggeris. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru