Tuesday, September 27, 2022

Polis Australia kesan Datuk dalang kes Bill Kayong, Polis Sarawak masih tunggu laporan rasmi

Secara Rawak

KUCHING: Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith hari ini mengesahkan bahawa polis negara itu telah berjaya mengesan lokasi dalang dalam kes pembunuhan Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bill Kayong yang telah melarikan diri ke negara itu.

Bagaimanapun katanya, usaha untuk mengekstradisi dalang tersebut ke Malaysia tertakluk kepada proses undang-undang negara itu.

aus adenan“Kita memahami beliau amat diperlukan di negara ini berhubung siasatan yang sedang rancak berjalan namun kita juga perlu memahami proses undang-undang yang dilaksanakan di Australia,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem di pejabatnya di sini hari ini.

Malaysia dan Australia mempunyai perjanjian ekstradisi formal, tetapi undang-undang negara itu menghalang untuk mengembalikan pelarian kepada mana-mana negara di mana mereka mungkin tertakluk kepada hukuman mati.

Smith malah enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada Kerajaan Australia berhasrat untuk mempermudah proses ekstradisi suspek tersebut ke Malaysia.

“Tiada apa yang dapat saya katakan tentang kes itu, selain mengatakan bahawa ekstradisi adalah tertakluk kepada proses undang-undang di Australia,” katanya.

Suspek yang juga ahli lembaga pengarah sebuah syarikat dan bergelar Datuk, bersama-sama seorang lagi individu yang masih bebas, bersekongkol dengan dua lagi individu yang telah ditahan, untuk bersubahat dengan suspek utama, Mohamad Fitri Pauzi, 29, bagi membunuh Kayong.

Kayong ditemui mati pada pada 21 Jun, di persimpangan lampu isyarat berhampiran pasar raya E-mart, Jalan Jalan Permyjaya-Kuala Baram dengan dua kesan tembakan di leher.

Sebelum ini, Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Dato’ Dev Kumar berkata, dalang tersebut telah melarikan diri ke Melbourne, Australia melalui Singapura pada 3 Julai, sebagai langkah terakhir menyelamatkan diri.

Kayong, 43, atau nama Islamnya ialah Mohd Hasbie Abdullah merupakan seorang peguambela isu-isu sosial, hak tanah adat Bumiputera, dan pernah bertanding dalam pilihan raya negeri Sarawak pada 7 Mei.

Sementara itu, dalam pertemuan dengan media pada petang tadi, Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya belum memperoleh laporan khusus dan rasmi tentang perkara itu.

“Kita masih lagi menunggu maklumat dan berurusan dengan pihak Interpol untuk mendapatkan suspek yang masih bebas,” katanya.

Ditanya sama ada aset milik dua suspek yang masih bebas akan dibekukan, Mazlan berkata, tindakan polis belum sampai ke tahap tersebut.

“Kita belum dapat mendedahkan lagi sebarang tindakan ke arah itu kerana kes masih dalam siasatan,” jelasnya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru