Wednesday, June 29, 2022

Mungkinkan pelajar terpaksa pinjam ah long setelah PTPTN kurangkan pinjaman?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sehingga Disember 2015, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya berjaya memungut semula sekitar 30 peratus daripada pinjaman yang diberikan kepada penuntut institut pengajian tinggi.

Dengan pungutan RM8 bilion daripada RM26 bilion pinjaman yang diluluskan menyebabkan PTPTN membuat keputusan tidak lagi menawarkan pinjaman 100 peratus kepada pelajar.

Dalam kenyataannya pada Isnin, Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, tabung itu tidak lagi mampu memberi pinjaman penuh kerana kadar pembayaran balik peminjam PTPTN yang rendah.

Justeru, PTPTN mengambil keputusan hanya meluluskan 95 peratus daripada kos pengajian kepada penuntut institut pengajian tinggi awam dan 85 peratus kepada penuntut institut pengajian tinggi swasta.

Di pihak pembangkang khuatir dengan perkembangan terbaru isu pinjaman PTPTN ini yang mungkin menyaksikan pelajar mencari ah long untuk mendapatkan pinjaman tambahan.

Mengelak pelajar menghadapi kesukaran untuk menyambung pelajaran sehingga ada yang terpaksa meminjam wang daripada keluarga, kawan, malah mungkin meminjam dengan ah long, kerajaan disaran mengkaji semula keputusan ini.

Langkah wajar perlu diambil secara menyeluruh bagi menangani isu ini.

Masalah pembayaran semula ini telah lama dikenal pasti oleh PTPTN dan mekanisme menangani punca dan kaedah pungutan yang berkesan perlu dilaksanakan.

Dalam pada itu, alasan lain graduan tidak mampu membayar balik pinjaman kerana masih belum mendapat sebarang pekerjaan tetap atau mempunyai pendapatan kecil. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru