Tuesday, June 28, 2022

MCMC sasar latih lebih ramai sukarelawan ICT bantu masyarakat

Secara Rawak

KOTA SAMARAHAN: Demi memastikan peredaran teknologi maklumat dapat dirasai seluruh rakyat dan digunakan dengan bermanfaat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melantik 40 sukarelawan bagi mencurah khidmat kepada masyarakat di Sarawak untuk mencapai tujuan itu.

Sukarelawan ICT yang lahir dari program ‘Malaysia ICT Volunteer’ (MIV) di bawah MCMC berkhidmat di sembilan Pusat Internet 1Malaysia (Pi1M) di negeri yang menjadi perintis iaitu Sarawak.

Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan MCMC, Eneng Faridah Iskandar berkata menjadi impian MCMC untuk melahirkan MIV di seluruh negara agar mereka dapat menyebarluaskan manfaat teknologi maklumat dalam kalangan rakyat termasuk masyarakat luar bandar.

“Selain 40 orang MIV yang kita telah latih ini, dan selain dari negeri Sarawak, kita menyasarkan untuk membuka peluang kepada lebih ramai MIV seluruh negara untuk berkhidmat kepada komuniti di kawasan mereka.

“MIV ini akan menjadi rujukan masyarakat atau komuniti mengenai penggunaan ICT dengan betul, selamat dan bertanggungjawab serta menyemarakkan semangat sukarelawan dalam bidang ICT,” katanya dalam satu sidang media mengenai program MIV 2016 di Kuching, Sarawak.

Antara objektif MIV ialah menjadikan masyarakat celik digital dengan kemudahan ICT yang telah disediakan kerajaan, menambah baik aktiviti harian dalam urusan sosial masyarakat dan menyumbang potensi besar dalam bidang perniagaan secara dalam talian.

SUKARELAWAN ANTARABANGSA

Menyokong program MIV, MCMC bekerjasama dengan sukarelawan dari Korea Selatan melalui program IIV (International ICT Volunteer).

Empat sukarelawan IIV dari Korea ini dibantu empat MIV tempatan bagi memberikan pendidikan teknologi maklumat kepada komuniti setempat seperti program komputer, cara menggunakan media sosial dengan betul dan positif, membuat rekaan grafik dan pengekodan.

“Seperti kita ketahui, perkembangan teknologi maklumat di Korea lebih ke hadapan berbanding negara kita.

“Saya yakin, sukarelawan IIV dan MIV serta komuniti Kampung Pinang di sini dapat mengenal dan belajar budaya masing-masing, memperkasakan kemahiran ICT dan merapatkan jalinan silaturrahim antara dua negara bagi menggalakkan lebih ramai golongan muda menjadi sukarelawan ICT,” katanya pada karnival ‘Anyeong Haseyo Day’ yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kampung Pinang, Samarahan.

Karnival sehari itu diadakan antaranya sebagai medan sukarelawan ICT dan masyarakat setempat beramah mesra dan menonjolkan persembahan budaya masing-masing.

KISAH SUKARELAWAN

Menjadi sukarelawan ICT dengan menyebar kemahiran yang positif kepada komuniti adalah satu pengalaman menarik buat sukarelawan ini.

Bagi Hyung Gyum Kim dari Korea walaupun terdapat perbezaan Bahasa, itu tidak menjadi penghalang kerana mereka mendapat bantuan penuh daripada MIV.

“Sesi latihan juga dilakukan dalam Bahasa Inggeris dan kami bangga kerana dapat mengajar para pelajar bagaimana menggunakan ICT dengan lebih mudah dan bermanfaat,” katanya.

Pemuda berusia 23 tahun ini berkata ia adalah kali pertama beliau menyertai program sukarelawan dan peluang mengendali kelas masakan Korea bersama masyarakat dewasa adalah sebahagian pengalaman menarik sepanjang sebulan mereka berada di Kampung Pinang.

Manakala menurut seorang MIV, Norlia Salleh, 22, menabur bakti kepada masyarakat setempat terutama pelajar sekolah di kampungnya memberi kepuasan tersendiri.

Norlia pelajar kursus sistem informasi di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, beliau pada mulanya sangsi dengan kebolehan pelajar sekolah menggunakan teknologi ICT.

“Tetapi ternyata mereka mudah menyerap apa yang diajarkan, melalui apa yang diajarkan pelajar sekolah rendah mampu menghasilkan rekaan grafik seperti poskad menggunakan komputer, dan itu amat membanggakan,” katanya.

KISAH KEJAYAAN

Walaupun ia projek perintis, kisah kejayaan program MIV nyata mengujakan.

Antara hasil yang membanggakan ialah 18 perniagaan dalam talian dapat dibangunkan serta dipromosikan dalam laman sosial facebook.

Menurut Eneng antara perniagaan itu ialah perniagaan kek Strawberry Shortcakes milik Nor Aliza Matden, perniagaan makanan Black Orchid Recipe milik Siti Nurul Izzah Sidi, perniagaan aksesori gajet ‘Macam-Macam Aksesori Gajet Store’ milik Yumizal Juan dan perniagaan inap desa ‘Homestay Desa Samarahan’ milik Nor Fazlin Safari.

Rentetan kejayaan itu, Eneng berkata, MCMC akan menganugerahkan sijil kepada 40 peserta MIV agar mereka dapat terus menjadi rujukan dan menyebarkan pengetahuan ICT mereka kepada komuniti setempat.

“Perancangannya, kita akan mengembangkan program ini ke negeri lain dan membuka peluang kepada mereka yang mempunyai ilmu dan pengetahuan ICT untuk menjadi sukarelawan di setiap negeri di Malaysia.

“Ada banyak perkara yang perlu diambil kira, namun kita yakin rancangan positif ini boleh dijayakan suatu hari nanti,” katanya sambil menambah Sabah mungkin menjadi destinasi seterusnya untuk melanjutkan program MIV.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru