Gangguan bekalan elektrik hampir setiap hari resahkan penduduk Kabong

KABONG : Masalah gangguan bekalan elektrik yang berlaku hampir setiap hari di seluruh Daerah Kabong kini menghantui dan menimbulkan keresahan kepada penduduk di sini.

Masalah gangguan bekalan elektrik berkenaan berlaku tanpa mengira waktu dan tanpa sebarang notis daripada pihak yang berkenaan.

Lebih meresahkan penduduk masalah terputus bekalan elektrik itu berlaku dalam tempoh masa yang agak lama iaitu sekitar sejam lebih dan ada kalanya menjangkau tempoh lima jam sebelum bekalan berjaya dipulihkan oleh pihak yang terlibat selepas aduan dibuat penduduk.

Malam tadi bekalan elektrik terputus dari jam 6.50 petang dan hanya pulih seperti biasa kira-kira jam 8.25 malam.

Pada Isnin, malam sebelumnya gangguan elektrik berlaku kira-kira jam 7.15 malam dan pulih kira-kira jam 9.30 malam.

Pada Sabtu, gangguan elektrik berlaku pada jam 2 petang dan hanya pulih seperti biasa jam 3.15 petang.

Tempoh masa sedemikian adalah tempoh biasa yang perlu dihadapi penduduk apabila berlaku gangguan bekalan elektrik.

Seorang pengguna, Usop Kaykei, 47, yang ditemui memberitahu masalah gangguan bekalan elektrik ini seakan tiada jalan penyelesaian dan penduduk terpaksa menanggung akibat daripada masalah berkenaan.

“Kami berharap pihak yang terlibat dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik di Kabong. Persoalannya di sini mengapa masalah ini kerap berlaku di kawasan luar bandar dan tidak pula berlaku di kawasan bandar ?,” ujarnya.

Menurut Usop lagi, akibat gangguan elektrik ini, banyak peralatan elektrik seperti televisyen, peti sejuk, komputer rosak.

Tambah Usop, gangguan elektrik tersebut ada kalanya berlaku berlaku beberapa kali dalam sehari.

Punca sebenar kerapnya berlakunya masalah itu sehingga kini tidak dijelaskan dengan terperinci menyebabkan pengguna kini gelisah.

Aktiviti harian penduduk turut terganggu iaitu seperti aktiviti perniagaan, kelas tambahan malam, program komuniti dan juga program lain yang telah diatur dan yang tengah berlangsung terganggu oleh keadaan berkenaan.

Daerah Kabong yang kini mempunyai lebih 10,000 pengguna berharap pihak berkenaan akan dapat mencari punca masalah dan melakukan tindakan sewajarnya bagi mengekang masalah berkenaan daripada berterusan.

Menurut rekod yang diperoleh daripada pihak bekalan elektrik , kawasan Kabong merupakan antara pengguna elektrik yang aktif dalam kepatuhannya membayar bil bulanan dan tiada masalah besar dalam soal pembayaran bil elektrik. Malah kawasan ini juga tidak mencatatkan rekod bayaran bil elektrik tertunggak yang banyak.

Malah penyambungan haram dan mencuri bekalan elektrik di kawasan ini juga tidak berlaku. – Sarawakvoice.com