Bunuh musuh dengan kejayaan, hapuskan dengan senyuman — TMJ

JOHOR BAHARU: Kegagalan JDT dan JDTII dalam saingan Piala Malaysia telah dijangkakan, kerana ia bukan fokus sasaran pasukan itu, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurutnya, pasukan itu mempunyai agenda yang lebih besar iaitu memenangi kejuaraan liga serta bersaing di pentas pertandingan yang lebih tinggi dan berprestij.

“Saya memikul tanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan JDT dan JDT II yang ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam Piala Malaysia.

“Saya adalah orang yang menetapkan polisi kelab ini dan Piala Malaysia bukan sebahagian daripada polisi kami,” tegasnya pada sesi dialog bersama-sama peminat JDT di sini semalam.

Kerana itu katanya, beliau tidak terkejut apabila para pemainnya tidak memberikan persembahan seratus peratus kerana mereka tahu ia bukan sasaran kelab.

“Sejak awal musim lagi saya telah memberitahu Mario (Gomez) yang memenangi liga musim ini akan menjadi satu lagi sejarah bagi kami kerana kami mahu menjadi kelab pertama di negara ini yang memenangi hatrik kejuaraan liga berturut-turut.

“Dengan jadual ketat yang ditetapkan oleh FMLLP, kami terpaksa mengorbankan satu pertandingan dan ia cukup jelas mengenai pertandingan mana satu terpaksa dikorbankan.

Katanya, semua pasukan yang bertanding kini berada dalam dilema, sama ada mengejar semua kejuaraan atau mencederakan pemain utama dan kekuatan pasukan anda.

“Atau memenangi salah satu pertandingan yang paling penting dan  mencipta sejarah serta mendapat peluang berprestij untuk bermain dalam pertandingan ACL.”

Tegasnya, menang atau kalah dalam pertandingan AFC tidak penting, tetapi berada dalam satu pertandingan antarabangsa bagi kelab dan untuk membolehkan seluruh dunia mengenali nama anda, adalah lebih baik daripada pertandingan domestik.

Tunku Ismail berkata, beliau merakamkan tahniah kepada Mario atas kejayaannya membawa JDT merangkul empat kejuaraan.

“Ini termasuklah memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA, yang membolehkan kami menempah slot ke Piala AFC.

Untuk menilai kemajuan kelab ini katanya, adalah dengan memastikan JDT sentiasa berada dalam saingan Piala AFC selain sentiasa melakukan yang terbaik dalam setiap aspek di dalam dan di luar padang.

“Kami telah mencipta sejarah dalam pelbagai cara dan kami masih bersemangat untuk mendapatkan lebih banyak lagi.

“Sekiranya kita mempunyai sasaran, kita perlu berjuang untuk mencapainya tidak kira sama ada kita berjaya atau tidak,” katanya.

Dengan kejayaan demi kejayaan yang dirangkul kelab itu, Tunku Ismail mengakui
sesetengah orang cemburu dengan kemajuan dan kejayaan JDT, dan akan cuba untuk mencipta ketegangan dalam kalangan penyokong.

“Oleh itu saya menyeru kepada semua penyokong JDT agar terus memberi tumpuan kepada gambaran yang lebih besar dan positif.

JDT tambahnya, telah berkembang dengan pesat dan beliau akan pastikan ia akan terus berkembang.

“Jangan terperangkap dengan jerat provokasi atau skim mereka iaitu “memecah dan menakluk”.

“Perpaduan dan kejayaan kita adalah di tangan kita sendiri. Bunuh mereka dengan kejayaan dan hapuskan mereka dengan senyuman,” tambahnya. – Sarawakvoice.com