Tahniah kepada rakyat Malaysia

0
5

Datuk Lee Chong Wei  (DLCW) telah berusaha sedaya upaya untuk menampilkan persembahan yang terbaik di Rio De Janeiro. Namun masih belum mampu muncul juara.

Tetapi di hati 31 juta rakyat Malaysia, pemain badminton terbilang itu tetap juara di hati mereka.

Jaguh perseorangan negara itu akur apabila tewas kepada Chen Long dari China di final.

Pemain nombor satu dunia itu berkata dia sudah memberikan yang termampu tetapi lawannya, Chen, lebih bersedia.

“Malah saya anggap permainan saya di sini lebih baik berbanding ketika aksi final di Beijing 2008 dan London 2012.

“Namun, saya perlu akur Chen Long lebih bagus dan bersedia kali ini. Dia berjaya membalas setiap pukulan saya,” katanya.

Kekalahan 18-21, 18-21 kepada Chen Long yang juga juara dunia dua kali itu juga menyaksikan Chong Wei buat kali ketiga berturut-turut berpuas hati memenangi perak.

Di Beijing 2008 dan London 2012, Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia  kecundang di tangan Lin Dan.

Kita perlu gembira dan tidak menganggap DLCW gagal dalam persembahannya. Kita telah menyaksikan bagaimana rakyat pelbagai kaum, tanpa mengira warna kulit dan agama telah bersatu memberi sokongan padu.

Kita dapat lihat mereka menjerit, malah menitiskan air mata bersama, tidak kira air mata gembira atau air mata sedih.

Kejayaan membawa balik lima pingat adalah sesuatu yang membanggakan – prestasi terbaik dalam penyertaan negara dalam Sukan Olimpik. Ini membayangkan potensi Malaysia dalam Olimpik di Jepun nanti.

Sesungguhnya, bagi atlet, seluruh rakyat berada di belakang mereka. Memang satu beban berat yang perlu dipikul di atas bahu, dan tekanan itu hanya diketahui oleh atlet terbabit, keluarga dan rakan karib.

Kali ini kita amat gembira, negara turut menjadi perhatian media antarabangsa – bukan kerana alasan yang tidak betul.

Sesungguhnya, tidak diragui, sukan sekali lagi membuktikan mampu menyatupadukan rakyat negara ini ketika sesetengah pemimpin politik hanya mampu memecahkan rakyat.

Pencapaian di Rio tentu bukan datang bergolek. Di sebalik kejayaan itu pasti banyak perancangan, komitmen, disiplin dan pengorbanan dilakukan oleh semua pihak, lebih-lebih lagi bagi atlet berkenaan.

Sesungguhnya, dalam apa-apa bidang sekalipun, tidak ada yang dicapai dengan mudah. Kalau hendak berjaya, pengorbanan dan seluruh komitmen dituntut.

Tahniah kepada semua yang telah menyumbang ke arah kejayaan bersama.

Tahniah kepada rakyat Malaysia! – Sarawakvoice.com