Friday, September 30, 2022

Daya juang atlet Malaysia di Rio 2016 dan detik perpaduan rakyat

Secara Rawak

Sukan Olimpik Rio 2016 sudah melabuhkan tirai semalam, Ahad, 21 Julai 2016. Semenjak menyertai acara sukan Olimpik, Rio 2016 mencatatkan sejarah paling manis buat Malaysia setakat ini.

Kontinjen negara berjaya meraih sebanyak lima pingat: empat perak dan satu gangsa. Tiga daripada pingat tersebut disumbangkan oleh acara badminton, dan masing-masing satu pingat bagi acara papan anjal 10 meter terjun sinkronim dan keirin.

Walaupun pemburuan negara untuk pingat emas di gelanggang Olimpik pada kali ini gagal membuahkan hasil positif, namun penghormatan dan kesetiaan rakyat Malaysia terhadap atlet kebangsaan tidak pernah luntur.

Secara keseluruhan, Malaysia berada di tangga ke-60 dalam senarai kutipan pingat. Dalam senarai tersebut, terdapat 120 buah negara pulang tanpa sebarang pingat.

Negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain, China, Rusia dan Jerman merangkul lebih 40 peratus daripada keseluruhan jumlah pingat yang dipertandingkan.

Kepada negara seperti di atas, temasya Olimpik menjadi medan iklan, pentas untuk mempromosi dan mempamerkan sentimen negara bangsa yang berjaya. Sebab itulah ada antara negara yang sanggup berbelanja puluhan juta USD untuk melahirkan atlet yang boleh memenangi pingat semasa temasya sukan Olimpik.

Bagi sebuah negara kecil seperti Malaysia, sukan Olimpik mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Acara badminton terus mengharumkan nama Malaysia dan menjadikan orang yang tidak minat mengikuti dunia sukan turut sama menyaksikan acara sukan terbesar itu.

Jutaan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang etnik, gender dan usia melekat di kaca televisyen pada malam Jumaat dan Sabtu minggu lalu menyaksikan pertembungan paling menarik dan mendebarkan antara Datuk Lee Chong Wei menentang Lin Dan dalam acara perseorangan lelaki peringkat semifinal dan seterusnya Datuk Lee Chong Wei menentang Chen Long di peringkat final yang berkesudahan dengan kemenangan kepada Chen Long daripada China.

Acara badminton juga menyaksikan kemaraan beregu lelaki Malaysia (Goh V Sham dan Tan Wee Kiong) dan beregu campuran (Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon) berjaya melangkah ke peringkat final. Walaupun mereka gagal dalam misi pemburuan pingat emas, tetapi semangat juang yang ditunjukkan amat membanggakan rakyat Malaysia.

Kejayaan Azizul Hasni Awang memenangi pingat gangsa dalam acara keirin amat membanggakan kerana acara basikal bukanlah tradisi kecemerlangan Malaysia sebelum ini.  Begitu juga pencapaian pingat perak oleh pasangan Pandalela Rinong dan Cheong Jun Hoong dalam acara papan anjal 10 meter terjun sinkronim.

Daya juang dan kegigihan yang ditunjukkan oleh atlet Malaysia pada sukan Olimpik Rio 2016 akhirnya telah membuahkan hasil cemerlang. Tabik hormat diberikan kepada semua atlet Malaysia yang telah berjaya di samping mendokan lebih ramai lagi atlet baharu mengikuti jejak langkah seperti mereka pada masa hadapan.

Atlet Malaysia telah menyempurnakan usaha yang gagal dilaksanakan oleh pemimpin politik, iaitu membawa perpaduan dan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa. Syabas! – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru