Wednesday, June 29, 2022

Malaysia wujudkan 1.5 juta pekerjaan dalam tempoh empat tahun – Richard Riot

Secara Rawak

KUCHING: Sekurang-kurangnya 1.5 juta pekerjaan baharu akan diwujudkan di seluruh negara menjelang tahun 2020, dengan 60 peratus daripadanya memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Jumlah ini katanya, penting bagi meningkatkan jumlah tenaga mahir di negara ini, yang hanya sekitar 27.1 peratus, jauh daripada bilangan yang diperlukan oleh sesebuah negara bertaraf maju.

“Untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi, sesebuah negara hendaklah memiliki sekurang-kurangnya 40 peratus pekerja mahir,” katanya ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILTJM) Wilayah Timur (Zon Sarawak) ke-12 di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) pagi tadi.

Ketika ini katanya, Malaysia memiliki sejumlah 14.8 juta pekerja, dengan 1.6 juta daripadanya adalah penjawat awam.

Bagi memenuhi keperluan tersebut, kerajaan menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) telah memberikan tumpuan kepada latihan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) agar dapat mengeluarkan pelatih yang berkualiti.

“Untuk itu, kita telah mempertingkat pelbagai kemudahan prasarana bagi membolehkan sistem TVET di negara ini sentiasa terkini, berkualiti dan mampu bersaing dalam cabaran era globalisasi, dengan ekonomi dan teknologi pantas berubah.

Kerajaan juga katanya, telah mewujudkan pelbagai peruntukan dalam memperlengkap fasiliti, mesin dan peralatan, kemudahan latihan, tenaga pengajar serta pelbagai keperluan lain di semua institusi TVET di seluruh negara.

“Ini bagi membolehkan institusi-institusi ini melatih dan mengeluarkan graduan yang mahir dan berketrampilan dalam bidang teknikal.

Jelasnya lagi, dengan adanya pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi, jumlah pendapatan mereka juga akan dapat ditingkatkan.

“Pendapatan per kapita negara pada tahun 1970 adalah sebanyak RM402 dan angka ini telah meningkat kepada RM10,796 pada tahun 2014.

“Untuk mencapai taraf negara maju, pendapatan per kapita negara hendaklah sekitar RM15,000 menjelang tahun 2020,” jelasnya lagi.

Kerana itulah, bermula 1 Julai lalu, kerajaan telah menetapkan gaji minimum baharu bagi Semenanjung, iaitu sebanyak RM1,000 manakala Sabah dan Sarawak sebanyak RM920.

“Ia bertujuan untuk membolehkan golongan pekerja khususnya peringkat bawahan akan dapat meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Pada majlis yang sama, Richard turut mengumumkan bahawa kementeriannya akan menerbitkan dan mengedar “Buku Panduan Gaji” untuk dijadikan rujukan kepada para pekerja, majikan dan graduan, agar gaji yang diterima setimpal dengan kelulusan.

“Sebanyak 160 pekerjaan daripada pelbagai sektor industri telah disenaraikan di dalam Buku Panduan Gaji ini.

“Selain sebagai panduan untuk gaji pokok permulaan, selaras dengan jawatan dan kemahiran, ia juga memberi nilai kepada kemahiran yang dimiliki oleh pekerja.

Pada masa yang sama, ia juga sebagai penanda aras kepada perjanjian kolektif dan rundingan untuk kontrak perkhidmatan,” tegasnya.

Seramai 345 graduan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kota Samarahan dan Miri, serta Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Bintulu telah menerima diploma dan sijil masing-masing dalam konvokesyen ini.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1964, institusi-institusi ini telah melahirkan seramai 183,264 pelatih berkemahiran, termasuk 8,178 orang di Sarawak. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru