Wednesday, June 29, 2022

Isu Petronas: Jangan fikir rakyat Sarawak bodoh

Secara Rawak

Langkah Kerajaan Negeri Sarawak membekukan sementara  permit perkerja dari luar Sarawak  untuk bekerja dengan Petronas bukanlah berkaitan isu penurunan kuasa yang banyak dilaung-laungkan rakyat Sarawak dan juga usahakan dilakukan oleh Kerajaan Negeri  yang sedang dirundingkan dengan Putrajaya. Sekurang-kurangnya inilah  pendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Namun inilah tindakan kali pertama dilakukan oleh Kerajaan Negeri Sarawak terhadap Petronas selepas 1963 menggunakan kuasa autonomi negeri yang dilaksanakan atau melalui undang-undang imigresen.

Nancy Shukri dipetik sebagai berkata, “Adakah tindakan ini menggambarkan kesungguhan kerajaan negeri mengenai isu-isu penurunan kuasa atau untuk menunjukkan kuasa autonomi mereka di bawah persekutuan?” Apa-apa pun kata beliau,  tindakan Kerajaan Negeri Sarawak ini tidak lain kerana untuk  memastikan Petronas  bertindak adil dan telus khususnya dalam urusan operasi di Sarawak.

Beliau mengakui tindakan tersebut dilakukan apabila Kerajaan Negeri menerima aduan daripada Suarah Petroleum Group (SPG) dan rakyat Sarawak secara keseluruhannya. Sebenarnya, isu ini mendapat liputan meluas kerana rakyat Sarawak semakin cerdik dan matang serta akan hak-hak mereka.

Rakyat Sarawak sedar setiap undi yang diberikan oleh kepada Barisan Nasional  sangat berharga dan merupakan amanah yang perlu dipikul oleh pemerintah.  Sekiranya, suara mereka tidak dihargai kemungkinan mereka menghayun undi ke parti pembangkang sebagai protes adalah tinggi. Lebih-lebih lagi dalam keadaan politik  BN di Putrajaya dianggap bergolak dan hanya bergantung talian hayat politik dengan undi Sabah dan Sarawak.

Dampak Kecelikan Masyarakat

Ternyata, rakyat Sarawak kini semakin sedar, celik informasi dan semakin  ramai berpendidikan tinggi. Tidak mudah lagi berdiam diri apabila mereka melihat sesuatu yang tidak kena mengenai dasar, hak dan kepentingan masyarakat Sarawak.

Era ini isu-isu integriti dan ketelusan merupakan isu perjuangan sejagat tanpa mengira negeri atau warna kulit mahupun  latar belakang agama.  Media sosial dan media alternatif semakin berleluasa dan rakyat sendiri dapat menilai apa-apa isu yang berlaku dalam masyarakat.

Kemajuan  dalam dunia pendidikan  di Sarawak  dengan kewujudan universiti awam dan swasta, pendedahan pendidikan  tinggi di luar Sarawak malah di luar negara membawa kesedaran bahawa Sarawak boleh maju dengan adanya modal insan.  Aspek ini dapat diperoleh dengan  pendidikan yang dapat mengubah status dan bertindak sebagai mobiliti  sosial masyarakat.

Mereka terdedah kepada  kota raya Kuala Lumpur dengan kemudahan LRT, Monorel, Komuter.  Lebih ramai juga terdedah kepada kota-kota  besar dunia. Justeru, mereka bertanya kepada sesama mereka  mengapakah kemudahan  seumpama ini tidak ada di Sarawak?

Mereka mulai bertanya, adakah lebar lebuh raya Pan Borneo sama lebar dengan lebur raya di Semenanjung Malaysia.?  Rakyat Sarawak  sudah tahu dan lebih peka akan hak  mereka sebagai pengundi dan warganegara yang sewajarnya  mempunyai suara yang perlu didengari. Mereka semakin sedar  kepentingan istilah ‘wakil rakyat’ digunakan dan bukannya ‘wakil pemerintah’ yang menunjukkan kuasa dan suara rakyat lebih penting! – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru