Saturday, December 3, 2022

Tiada jaminan harga barangan turun ketika harga minyak merundum – Henry Sum

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum Agong berkata, tiada jaminan harga barangan di negara ini turun apabila harga minyak di pasaran dunia jatuh merundum.

Menurutnya, penurunan harga barangan didorong oleh pelbagai faktor dan bukan ditentukan oleh harga minyak semata-mata.

“Kita tidak menafikan harga barangan naik kesan daripada kenaikan harga minyak, namun situasi itu sebenarnya turut bergantung kepada kedudukan semasa ekonomi dunia secara keseluruhannya.

“Yang pasti, ia berpunca daripada sikap peniaga sendiri yang sering mengambil kesempatan.

“Ini akan kita pantau setiap masa bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi etika dan tidak mengaut keuntungan secara berlebihan hingga membebankan pengguna,” tegasnya.

Henry mengulas sikap segelintir peniaga yang menaikkan harga barang atas alasan harga minyak melambung tinggi, tetapi tidak menurunkan harga jualan ketika harga minyak jatuh mendadak di pasaran.

Beliau ditemui media selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Unit Pembangunan Usahawan dan Industri Halal (UPUIH) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), di sini pagi tadi.

Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.

Mou tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif baharu Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) untuk memperkasa usahawan di negeri ini walaupun Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tidak diguna pakai di Sarawak dan Sabah.

Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak akan menjalinkan kerjasama dalam bidang penyelidikan serta berkongsi data dan maklumat perniagaan yang telah didaftarkan mengikut terma-terma yang dipersetujui.

Pada masa yang sama, perkongsian kepakaran dan latihan turut ditingkatkan selain aktiviti-aktiviti yang berasaskan penyelidikan dan analisa serta penggunaan fasiliti secara bersama.

Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Abdul Ghani telah merintis inisiatif ini sebelum dirincikan kemudiannya oleh UPUIH dan SSM. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru