Tuesday, October 4, 2022

Siasatan kes culik murid di Miri menjurus kepada rogol

Secara Rawak

MIRI: Selepas diselamatkan, dan suspek penculiknya ditahan dalam satu serbuan pada petang semalam, polis kini melebarkan siasatan kes culik murid tahun 5 Sekolah Kebangsaan Miri kepada jenayah rogol.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisoner Dev Kumar petang ini, yang memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan dengan salah serta di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana disyaki merogol

Petang tadi, suspek terbabit yang juga abang ipar kepada mangsa yang berusia 11 tahun telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret dekat sini untuk menjalani perintah tahanan reman.

Timbalan Pendaftar Mohd Hafizi Abdul Halim mengeluarkan perintah tahanan reman selama tujuh hari ke atas suspek yang berusia 35 tahun itu bagi membantu siasatan.

Kanak-kanak terbabit dilaporkan hilang pada Selasa lalu, dengan suspek dilihat menjemputnya dari sekolah dengan menggunakan Perodua Viva putih sekitar jam 12.30 tengah hari.

Mangsa bagaimanapun tidak muncul dan pulang ke rumah sehingga petangnya hingga mendorong abangnya membuat laporan polis, dan kereta yang digunakan untuk melarikan mangsa kemudian ditemui berhampiran belukar di Padang Karbau, Pujut.

Gerakan mencari kemudian diaktifkan hinggalah semalam, apabila polis berjaya memberkas suspek tidak jauh dari keretanya ditinggalkan, yang kemudian membawa kepada penemuan mangsa yang disembunyikan di dalam kawasan hutan di Jalan Bypass.

Ketika ditemui sekitar jam 3.20 petang semalam, tangan dan kaki mangsa diikat dengan tali plastik, selain terdapat bekas makanan dan minuman di kawasan berhampiran.

Mangsa yang berada dalam keadaan trauma, lemah dan ketakutan kemudian dibawa oleh pihak polis dan paramedik ke Hospital Miri untuk pemeriksaan lanjut. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru