Tuesday, August 16, 2022

Pemuda Pas bangkitkan kebimbangan ancaman keganasan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) yang diketuai oleh Khairil Nizam Khiruddin telah melakukan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah, semalam.

Menurut ketuanya, Khairil Nizam Khirudin, objektif utama kunjungan hormat itu adalah untuk menyampaikan empat perkara penting, iaitu mengenai kebimbangan ancaman terorisme dan radikalisme khususnya di Kuala Lumpur, penularan jenayah keganasan, kewibawaan institusi kepolisan dan saranan beberapa program kolaborasi pemuda Pas dengan PDRM.

“Pertemuan tersebut dianggap sebagai satu inisiatif untuk merealisasikan budaya politik matang dan sejahtera yang telah mula diperkenalkan oleh Pas pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, kunjungan itu juga adalah kesinambungan daripada beberapa ‘engagement’ politik yang pernah dijalinkan sebelum ini dengan pelbagai pihak. 

Mengenai ancaman radikalisme seperti yang berlaku di Pusat Hiburan Modiva Puchong, ancaman bom di Jalan Alur Bukit Bintang dan sekitar persiaran 5, pihak polis telah meningkatkan keberadaan anggotanya di seluruh Kuala Lumpur untuk mengawal dan meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat.

“Pihak polis turut mengalu-alukan kerjasama dengan DPPWP untuk menganjurkan program penerangan bagi menjelaskan ancaman keganasan di Malaysia kepada masyarakat,” tambah kenyataan itu.

Untuk itu, pihak DPPWP menggesa agar pihak polis menginovasikan pelbagai langkah preventif termasuk penggunaan teknologi yang canggih untuk menghidu sebarang unsur keganasan yang cuba dilakukan di sekitar Kuala Lumpur.

“Kempen kesedaran termasuk langkah-langkah awal keselamatan mesti dipromosikan supaya rakyat dipersiapkan dengan informasi yang sewajarnya,” ujar Khairil Nizam.

DPPWP turut  menzahirkan kebimbangan terhadap jenayah keganasan seperti insiden tembak mati yang kini telah mencecah lebih 10 kes sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2016 di Kuala Lumpur.

Katanya, dominasi kumpulan mafia di kawasan-kawasan tertentu boleh meningkatkan persepsi tidak aman dalam kalangan masyarakat.

“Respons daripada pihak polis menyatakan bahawa operasi membanteras geng kongsi gelap merupakan satu operasi berterusan seperti Op Cantas. Selain itu, pihak polis telah menubuhkan sebuah jabatan baharu, iaitu Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Awam (JPJKA),”’ katanya.

Ketiga, kata Khairil Nizam, DPPWP menggesa supaya pihak polis untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana anggota yang terlibat dalam salah guna kuasa seperti yang telah dilaporkan di media.

Maka, dalam hal ini, katanya, DPPWP tetap mencadangkan kepada pihak polis untuk merevisi semula dan melaksanakan cadangan yang telah dilontarkan sepuluh tahun lalu dalam The Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC).

Terakhir, DPPWP turut membawa hasrat Alternative Riding Club (ARC) DPPM untuk mendapatkan khidmat latihan daripada pihak polis dan juga pengiktirafan kepada kumpulan EXPERT ARC yang bertugas sebagai kumpulan pengiring bermotor. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru