Keamanan perlu dipertahan daripada ancaman pemikiran ekstremis

0
5

KOTA KINABALU: Dewan Pemuda Pas Negeri Sabah (DPPNS) menggesa agar semua pihak mengambil langkah segera bagi membendung pengaruh aliran pemikiran ekstremis atau IS yang berbahaya kepada masyarakat dan negara.

Timbalan Ketua, Dewan Pemuda Pas Negeri Sabah Zulzaim Hilmee Abidin berkata, penangkapan individu terdiri daripada anak muda di beberapa buah lokasi di Sabah yang disyaki terlibat dalam menyokong aliran pemikiran ekstremis atau IS memberi isyarat betapa langkah membendung elemen berkenaan perlu disegerakan.

“Ini merupakan impak negatif daripada siri keganasan dan penindasan yang berlaku di negara-negara Asia Barat yang ditaja oleh kuasa besar,” ujarnya.

Maka, menurut Zulzaim Hilmee, kesannya ialah golongan muda bersemangat mudah bersimpati untuk menyokong fahaman melampau ini khususnya di media-media sosial untuk melakukan tindakan di luar jangkaan di tempat sendiri.

Katanya: “Tindakan ini mampu menggugat kesejahteraan dan keharmonian seperti dikehendaki oleh Islam.”

Tambahnya, Pas menyeru untuk menolak sebarang fahaman melampau yang bercanggah dengan syariat Islam.

DPPNS, kata beliau, berusaha untuk memastikan pengaruh melampau seperti pemikiran IS dibendung agar keutuhan dan kestabilan negeri terus dipertahankan demi menjamin keamanan masyarakat dan mengelak daripada dicemari oleh anasir-anasir luar yang membahayakan. – Sarawakvoice.com