Wednesday, June 29, 2022

Uggah dedah propaganda ngo burukkan Sarawak kerana tanam kelapa sawit

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas malam tadi mendedahkan wujudnya badan bukan kerajaan yang kini aktif memburukkan nama Sarawak di peringkat antarabangsa kerana melakukan aktiviti penanaman kelapa sawit di kawasan tanah gambut.

1f8a76fb-77b0-464b-9b30-e2b028f21c1fEnggan menamakan badan tersebut, Uggah berkata, mereka menyebarkan propaganda kononnya kerajaan Sarawak telah melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dan menuduh penebusan tanah tersebut memberi implikasi negatif kepada usaha menyelamatkan dunia daripada isu perubahan iklim.

“Mereka meracuni pemikiran masyarakat antarabangsa dengan mengatakan tanah gambut di Sarawak seharusnya tidak diganggu dan dibiarkan seperti sedia kala,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Majlis Makan Malam Gala Konvensyen Tanah Gambut 2016 di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.

Kata Uggah, ini merupakan usaha terkini untuk mencemarkan nama baik industri sawit negara walhal Sarawak sebenarnya telah melakukan proses penanaman kelapa sawit dan menebus guna tanah gambut ini secara bertanggungjawab.

Melalui penanaman kelapa sawit ini kita menjayakan konsep 3P iaitu menangani masalah kemiskinan (poverty), menjamin keuntungan kepada pengusaha (profit) serta mewujudkan kelestarian pada alam sekitar (planet).

“Telah terbukti sebenarnya, banyak penduduk luar bandar Sarawak telah memperoleh manfaat daripada industri minyak kelapa sawit ini, hingga ada yang memperoleh pendapatan lebih berjuta ringgit,” jelasnya.

Kerana itulah katanya, beliau dan kerajaan negeri mahu keadaan ini dikekalkan.

“Kita masih memiliki sejumlah rakyat yang miskin di luar bandar dan kelapa sawit merupakan tanaman yang boleh diharap untuk membebaskan mereka daripada belitan kemiskinan itu,” katanya.

Sarawak jelasnya, seperti juga negeri-negeri lain di negara ini komited memainkan peranan untuk menangani perubahan iklim dunia.

“Jadi saya amat berharap kongres (tanah gambut) ini dapat menjadi wadah untuk kita berkongsi kepada para peserta akan cara menguruskan tanah gambut secara bertanggungjawab, selain memaklumkan tindakan-tindakan proaktif yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam melestarikan alam semulajadinya.

“Ini sekali gus dapat menepis tuduhan dan dakwaan bahawa kita telah menebang hutan secara tidak bertanggungjawab untuk tujuan penanaman ini,” katanya lagi.

Kata Uggah, beliau menaruh harapan, Dr. Lulie Melling (Pengarah Kongres) dan rakan-rakannya yang menganjurkan kongres ini dapat menberi penjelasan bagaimana Malaysia menguruskan aktiviti penanaman sawit di tanah gambut secara bertanggungjawab.

Kongres antarabangsa yang berlangsung sejak Ahad lalu itu akan berakhir pada Jumaat ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru