Tuesday, August 16, 2022

PRU awal tahun depan?

Secara Rawak

Kini, banyak yang berteka-teki tentang tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14. Kalau sebelum ini ada yang meramalkan bahawa PRU itu akan diadakan pada tahun 2018, tetapi kini sudah ada yang meramalkan, ia bakal diadakan pada awal tahun depan.

Ada pemimpin politik yang mencadangkan supaya PRU disegerakan susulan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Parlimen di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun lalu.

Kemenangan dengan undi majoriti yang mengukuh merupakan justifikasi mereka.

Selain itu, alasan lain adalah kemelut dan perpecahan yang dialami oleh pakatan pembangkang.

Adakah itu sahaja yang boleh dijadikan alasan mengapa BN perlu mengadakan PRU lebih awal?

Untuk turun ke gelanggang, seseorang perlu yakin untuk memenangi perlawanan atau pertandingan dengan tahap keyakinan 100 peratus. Jika separuh-separuh yakin, tidak usahlah hendak turun ke gelanggang.

Bagi BN terutamanya, ia menyedari PRU kali ini adalah lebih sengit daripada PRU lalu. Sebahagian daripada parti komponennya telah mengarahkan jentera akar umbi supaya bersiap siaga dari sekarang.

pru14

Bagi BN, amatlah penting untuk memastikan janji dan perkara yang terkandung dalam manifestonya dalam pilihan raya lalu ditunaikan.

Jika tidak, ia akan terus menghantuinya. Sebagai kerajaan yang memerintah amat penting baginya untuk memastikan projek-projek penting dilaksanakan segera.

BN bakal diuji dari segi prestasinya, selain daripada tabir urus yang baik. Jika rakyat mempunyai persepsi bahawa kerajaan BN salah guna kuasa dan rasuah, ini akan meletakkannya dalam kedudukan yang sulit.

Menang diakui, kepemimpinan BN akan berdepan dengan pelbagai isu, termasuk 1MDB, derma RM2.6  bilion, dan GST.

Isu-isu berkenaan akan terus dimanipulasikan oleh pembangkang.

Kini, dengan kehadiran parti digagaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, PRU kali ini akan menjadi lebih menarik lagi. Mampukah Parti Pribumi Bersatu Malaysia menggugat kedudukan Umno khususnya?

Atau ia akan mengalami nasib sama seperti dialami Semangat 46?

Hakikatnya, jalan yang dilalui oleh parti berkenaan adalah sukar dan berliku. Tidak mungkin bagi Bersatu untuk menambat pengundi di Sabah dan Sarawak.

Pada 2013, 108 daripada 133 kerusi yang dimenangi BN ialah kerusi luar bandar. Sebaliknya, 72 kerusi daripada 89 kerusi dimenangi Pakatan Rakyat ialah kerusi bandar dan separa bandar.

Persaingan sekarang adalah bagaimana untuk merebut kerusi luar bandar, terutama kerusi majoriti Melayu di Semenanjung.

Jika Bersatu dapat menembusi kerusi berkenaan, dan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri dalam kalangan pembangkang, maka BN sebenarnya berada dalam bahaya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru