Wednesday, June 29, 2022

Isu Petronas: Uggah yakin keputusan positif, minta rakyat bersabar dan spekulasi diredakan

Secara Rawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas malam tadi yakin pertemuan susulannya dengan wakil Petronas pada Sabtu depan, akan menghasilkan kejayaan.

Menurutnya, beliau amat positif dengan perbincangan itu, dan begitu juga dengan pihak Petronas, yang begitu komited dalam menangani isu yang timbul.

“Seperti yang saya kata pada Isnin lalu, perbincangan yang diadakan amat memberangsangkan dan begitu konstruktif.

“Banyak isu yang kami bincangkan dan kerana itulah kami memerlukan satu lagi pertemuan pada Sabtu ini di Kuching.

1f8a76fb-77b0-464b-9b30-e2b028f21c1f

“Perbincangan lanjut ini bertujuan mencari jalan untuk menyelesaikan apa jua isu yang timbul,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Malam Gala Konvensyen Tanah Gambut di sebuah hotel terkemuka di sini malam tadi.

Menurut Uggah lagi, pada tahap ini, beliau meminta seluruh rakyat Sarawak agar bersabar dan bertenang dalam menghadapi isu Petronas ini.

“Tidak perlulah membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perbincangan.

“Kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem telah sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah ini, baik yang nyata mahupun berkait dengan persepsi,” jelas Menteri Pemodenan Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar Sarawak itu lagi.

Rakyat katanya, perlu menunggu dengan sabar akan persetujuan yang bakal dicapai.

“Kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin dan saya dapat lihat, pihak Petronas pun begitu juga,” katanya.

Isu ini tercetus berikutan penstrukturan semula syarikat minyak dan gas utama negara itu, hingga membawa kepada pengecilan operasi dan pelupusan beberapa jawatan kanannya.

Keadaan ini menyebabkan sekurang-kurangnya 13 kakitangan kanan syarikat itu yang berasal dan bertugas di negeri ini kehilangan kerja.

Sebagai tindak balas, Kerajaan Negeri kemudian melaksanakan moratorium, dengan membeku sebarang permohonan permit kerja baharu oleh syarikat itu, yang melibatkan kakitangan dari luar Sarawak.

Sehingga Rabu lalu, difahamkan Jabatan Imigresen Negeri Sarawak menggantung sekurang-kurangnya 90 permohonan permit kerja oleh kakitangan syarikat itu dari luar Sarawak sehingga memperoleh “lampu hijau” oleh kerajaan negeri. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru