Friday, August 19, 2022

Hentikan segera aktiviti penebangan balak, kata Sahabat Alam kepada Kerajaan Kedah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Kedah menghentikan segera aktiviti pemusnahan hutan dan penebangan balak bagi memelihara sumber asli ini dan menjamin sumber bekalan air yang mencukupi.

Menurut presidennya SM Mohamed Idris, liputan hutan di negeri Kedah adalah pada tahap yang membimbangkan dan kalau tidak dibendung penerokaannya, akan membawa kepada keadaan yang lebih genting.
  
Laporan Tahunan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia 2015 menyatakan bahawa kawasan tanah berhutan di negeri Kedah adalah 342,431 hektar iaitu 36.33% daripada keluasan tanah negeri Kedah.

“Selain daripada mengurangkan jumlah kawasan hutan yang mengancam kepelbagaian biologi dan hidupan liar, penebangan hutan turut memberi kesan kepada sumber air serta menyumbang kepada hakisan tanah, pemendapan, kerosakan cerun dan tanah runtuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, SAM kesal walaupun krisis air di negeri ini begitu meruncing pada ketika ini, namun hingga sekarang tidak ada langkah dan perancangan berkesan yang dibuat oleh pihak kerajaan bagi menangani isu tersebut.
 
“Selain mengancam alam sekitar dan berlaku banjir kilat di beberapa daerah di negeri ini, kegiatan pembalakan dan pembersihan tanah itu juga telah menjejaskan kehidupan ribuan pengguna air termasuk para pesawah yang mengusahakan tanaman padi,” tambahnya.
 
Sejak beberapa tahun kebelakangan kejadian banjir kilat kerap berlaku dan melanda kampung-kampung yang berhampiran kawasan pembalakan menyebabkan penduduk  terbabit mengalami kerugian besar akibat kemusnahan harta benda dan kawasan pertanian.
 
Katanya SM Mohamed Idris, dalam tinjauan yang dibuat SAM, didapati aktiviti pemusnahan hutan untuk perladangan dan pembalakan menyebabkan kawasan tadahan air terjejas dan sumber bekalan air masyarakat dicemari lumpur.

 “Tinjauan SAM juga mendapati bahawa bukit-bukit yang diteroka terbiar begitu lama menyebabkan berlaku hakisan tanah ketika hujan sehingga menjejaskan sistem saliran dan sungai-sungai di negeri ini menjadi cetek akibat mendapan,”ujarnya.
 
Enam daerah paling teruk mengalami kesan buruk akibat pemusnahan hutan dan kegiatan pembalakan di Kedah ialah Kulim, Baling, Sik, Langkawi, Padang Terap dan Kubang Pasu. Paras air di Empangan Pedu susut mendadak sejak musim kemarau yang lalu.

“Keadaan ini kalau berterusan adalah amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan hasil padi dan sumber pendapatan pesawah MADA,” kata beliau lagi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru