Wednesday, September 22, 2021

Dasar luar Malaysia perlu seiring kepentingan negara, kata Najib

Mesti baca

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia perlu beralih haluan daripada pendekatan lampau memandangkan dasar luarnya perlu berkisar kepada usaha menjalin kerjasama yang membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

Berucap merasmikan persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) di sini hari ini, Najib menegaskan kepentingan negara perlu diberi keutamaan dan bukannya kepentingan politik peribadi.

CAPAM-1

“Kami di Malaysia, percaya dalam usaha mendekati negara-negara lain, kita perlu mengekalkan pendirian yang bebas, berkecuali dan berprinsip tanpa mengira sistem dan ideologi politik dalam hal ehwal di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia tidak percaya kepada campur tangan asing dalam hal ehwal domestik negara-negara lain.

“Kami bertegas bahawa zaman di mana kuasa imperial boleh memberi arahan tentang bagaimana untuk menjaga tingkah laku, baik dari segi politik, ekonomi atau budaya, sudah berlalu,” katanya.

Merujuk kepada pemimpin yang lalu, Najib berkata Malaysia telah membuat keputusan bahawa dasar luarnya tidak akan lagi digambarkan dengan kata-kata kaustik dan ulasan pedas sebaliknya mengambil pendekatan kesederhanaan.

“Ini akan membolehkan kita menarik perhatian dan mempromosikan persefahaman. Perkara ini adalah satu keutamaan baik di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa” katanya.

Najib membidas pemimpin sebelum ini yang secara sengaja mengamalkan dasar berkonfrontasi dengan negara luar, mungkin untuk kepentingan peribadi.

Dalam membuat pilihan untuk berbeza daripada yang lain dan beralih haluan daripada pendekatan lampau, Najib berkata: “Tiada lagi desakan atau tersentak dengan pertikaian lama atau tidak habis-habis dengan dendam lama yang sudah dilupakan orang.

Najib berkata usaha membina hubungan dan menjalin kerjasama ekonomi dengan negara-negara lain sebenarnya merupakan suatu pendekatan yang menggalakkan kepada keamanan, keselamatan dan kemakmuran untuk rakyatnya.

“Perkara ini menjadi pendekatan kami – dan kami telah melihat manfaatnya,” katanya sambil memberi contoh tentang bagaimana beliau telah berusaha untuk menangani isu-isu legasi dengan Singapura berhubung penyelesaian kepada Points of Agreement (POA) pada 2010 selepas 20 tahun menghadapi jalan buntu.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Malaysia dan Singapura akan membina projek kereta api berkelajuan tinggi di antara Kuala Lumpur dan Singapura bagi meningkatkan kesalinghubungan, peluang ekonomi dan hubungan rakyat dengan rakyat.

Di Filipina, Malaysia memudahkan rundingan bagi menyelesaikan pemberontakan yang sudah lama berlarutan di Asia, katanya.

Hasrat Malaysia untuk menjalin hubungan tidak terhad hanya kepada Asia Tenggara dan telah membina hubungan yang kukuh di seluruh dunia dengan China, India, Rusia, Amerika Syarikat, Jepun dan Kesatuan Eropah dan banyak lagi negara lain, kata Najib.

Malaysia juga percaya kepada keterbukaan serantau dan memperluaskan perdagangan bebas dan telah menandatangani 13 perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara lain, katanya.

“Sesungguhnya, hubungan Malaysia dengan rakan-rakan kami di seluruh benua memang amat baik, dan hubungan ini telah membuahkan hasil yang ketara,” katanya.

Malaysia juga telah menandatangani Perjanjian Trans-Pasifik (TPP) berdasarkan termanya sendiri tanpa mengorbankan kepentingan negara, katranya.

Beliau berkata jika TPP diteruskan seperti yang dirancang, PricewaterhouseCoopers meramalkan ia akan menjadikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada US$211 bilion antara 2018 dan 2027, dan akan membawa pelaburan tambahan sehingga US$239 billion.

“Kami percaya bahawa usaha mentransformasi ekonomi kami, dan memastikan dasar luar kami adalah berdasarkan kepada usaha meningkatkan perdagangan dan hubungan antara satu sama lain, merupakan satu satu jalan yang menuju kepada keamanan, keselamatan dan pertumbuhan untuk semua.

“Ia akan membawa kepada masa depan yang berasaskan kerjasama, dan bukan berbantah-bantahan,” kata Najib.

Beliau juga berkata Malaysia akan menjadi rakan kepada sesiapa yang memerlukan bantuan dalam memerangi ekstremisme dan radikalisme, baik di dalam atau di luar negara.

“Kesengsaraan ini (ekstremisme dan radikalisme) yang telah membawa kematian dan kemusnahan kepada banyak negara, antaranya negara-negara Komanwel, juga telah mengancam negara ini,” katanya.

Beliau berkata Malaysia melindungi visi dan amalan kesederhanaannya dengan memainkan peranan utama bagi memerangi ekstremisme dan radikalisme, baik di dalam dan luar negara.

Perdana Menteri memberi contoh pelancaran Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi di Kuala Lumpur baru-baru ini, yang akan menentang propaganda kumpulan militan Daesh dan pengganas yang lain dengan mendedahkan segala kepalsuan dan maklumat salah.

Najib berkata Malaysia tidak mahu bermusuhan dengan sesiapapun namun tidak akan menggadaikan kehormatan diri dan proses demokrasi bagi memuaskan hati negara-negara yang nampaknya lupa bahawa mereka hidup dalam dunia multipolar.

“Ia terpulang kepada negara-negara untuk mentadbir diri mereka sendiri dan kepada rakyat yang memberi mandat demokrasi mereka kepada kerajaan,” katanya.

Najib juga berkata beliau tidak membuat sebarang permohonan maaf untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia dan kepentingan rakyatnya.

“Kita di dalam Komanwel – banyak daripada kita dari negara-negara yang dahulunya adalah tanah jajahan – harus mengakui bahawa walaupun kuasa lebih besar mungkin berusaha untuk memaksa kita bertindak seperti apa yang diinginkan mereka, ia adalah hak rakyat kita untuk memilih jalan kita sendiri,” katanya.

Komanwel adalah sebuah pertubuhan yang dianggotai 53 negara merentasi benua Asia, Afrika, Amerika, Eropah dan Pasifik dan mewakili 2.2 bilion penduduk. – Bernama

Secara Rawak

Artikel Terbaru