Friday, October 7, 2022

146 titik panas dikesan di Kalimantan, 7 Sumatera, 3 Pahang dan 11 di Sarawak

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Keadaan berjerebu di Lembah Klang dan beberapa kawasan di sekitarnya beransur pulih pada pagi ini.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, sehingga jam 8 pagi tadi, sebanyak 22 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap ‘baik’ dan sebanyak 29 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap ‘sederhana’.

titik panas malaysia-0002

“Bacaan IPU tertinggi adalah di Seri Manjung, Perak iaitu 97 (sederhana) dan tiada kawasan yang mencatatkan bacaan IPU ‘tidak sihat’,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Katanya, berdasarkan laporan Pusat Pakar Meterologi ASEAN (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 17 Ogos, bilangan titik merah telah berkurangan di Sumatera kepada tujuh lokasi, tetapi meningkat secara mendadak di Kalimantan iaitu 146 lokasi berbanding 77 lokasi pada Selasa.

“Di dalam negara pula, sebanyak 14 titik panas dikesan iaitu tiga lokasi di negeri Pahang dan 11 di negeri Sarawak.

“Di Sarawak, titik merah dikesan di beberapa kawasan di Bahagian Serian, Sibu, Sarikei, Sri Aman dan Kuching.

Tegas Wan Junaidi, lokasi-lokasi di dalam negara inu sedang disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya.

Berikutan perkembangan ini katanya, Sekretariat ASEAN selaku ‘Interim ASEAN Coordinating Centre’ telah mengaktifkan ‘amaran tahap 2’ bagi Kalimantan pada hari ini.

“Tahap ini mengkehendaki negara-negara ASEAN menghantar ‘laporan situasi’ setiap hari kepada Sekretariat ASEAN bagi memaklumkan status kebakaran dan tindakan-tindakan pemadaman dan mitigasi jerebu yang telah dan sedang diambil.

“Ia juga membolehkan tahap kebakaran dan situasi jerebu dipantau dan dinilai sekiranya ‘tidak balas kecemasan bersama’ perlu diaktifkan.

Untuk rekod, keadaan berjerebu kembali melanda beberapa kawasan di Lembah Klang termasuk beberapa kawasan di Melaka dan Negeri Sembilan pada 16 Ogos.

Keadaan ini dipengaruhi oleh jerebu rentas sempadan berikutan kebakaran tanah dan hutan di Sumatera Tengah, Indonesia yang dibawa oleh angin Monsun Barat Daya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih memantau rapi status kualiti udara di seluruh negara berikutan kejadian jerebu yang tidak menentu.

Titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia yang masih aktif boleh menyebabkan pencemaran jerebu rentas sempadan berterusan ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia dan ke negeri Sarawak.

Untuk tidak memburukkan keadaan jerebu, semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kompaun maksimum sebanyak RM2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru