Selepas 59  tahun  Merdeka dan 53  tahun pembentukan Malaysia, bagaimanakah tahap kesepaduan sosial, perpaduan dan integrasi nasional di negara kita?  Bolehkah kita  dengan pasti mengatakan bahawa kita sudah mencapai perpaduan dan integrasi nasional?

Polarisasi kaum dan sikap kenegerian yang melampau tidak baik untuk  masa depan Malaysia yang sekian lama bangga dengan hubungan etnik yang aman dan harmoni. Ramuan terbaik perlu dicari bagi mengelakkan polarisasi kaum   dan sentimen kenegerian  daripada  bertambah buruk, dan memastikan perpaduan nasional terus dapat diperkukuhkan.  Slogan Sarawak for Sarawakian misalnya  tidak harus merosakkan usaha memupuk integrasi nasional selama ini.  

Satu daripada jalan penyelesaian untuk masalah polarisasi kaum ialah penubuhan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN) yang diumumkan  oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 diketahui.  

Dengan landskap sosiopolitik yang sudah berubah, ekoran peningkatan kadar celik huruf dan celik politik, pendedahan kepada media baharu, pertambahan golongan kelas menengah, serta kadar perbandaran yang meningkat, keadaan ini memberi kesan kepada bagaimana sesuatu kaum menanggapi sesuatu isu yang berkembang dalam masyarakat dan negara. Perbincangan tentang pelbagai isu yang dahulu dianggap sensitif tidak lagi dapat dikawal atau sekadar menjadi hak media arus perdana.

Dialog Perpaduan memberi peluang kepada rakyat di seluruh negara untuk mengemukakan pendapat dan komen mereka tanpa  perlu berasa ragu. Melalui dialog itu bukan sahaja parti politik dijemput, tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan suku kaum. Penyertaan mereka membuktikan hasrat untuk sama-sama membina sebuah negara idaman yang makmur, aman dan maju.

Isu membabitkan kepentingan kaum, bangsa, agama, budaya, perlembagaan, ekonomi dan beberapa lagi jika tidak dikawal boleh membakar hati dan negara kita. Kita tidak boleh membiarkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab memusnahkan negara ini dengan komen-komen yang tidak mengambil kira sensitiviti etnik dan agama lain.

Rakyat di negara ini perlu belajar untuk menghargai dan menerima kewujudan etnik, budaya dan agama lain. Apabila wujudnya sikap sedemikian, barulah kita dapat mengelak daripada tercetusnya konflik dan pergeseran membabitkan agama, budaya dan lain-lain.

Sesungguhnya, perpaduan tidak harus membabitkan soal dasar yang dipaksakan dari atas. Rakyat sebagai pihak yang secara langsung merasai keadaan dan kesan keadaan hubungan etnik perlu dibabitkan dalam dasar yang hendak dilaksanakan. Justeru, pendekatan dari bawah ke atas merupakan strategi terbaik untuk benar-benar mengetahui masalah yang dihadapi oleh mereka, baik membabitkan soal kemudahan asas, ekonomi, tadbir urus atau media massa.

Perpaduan kaum merupakan tonggak kekuatan dan pasak keutuhan yang akan menjamin kejayaan serta kecemerlangan negara.  Tanpa sikap toleransi, perpaduan, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat,  sudah tentu rakyat tidak dapat menikmati kehidupan dalam suasana harmoni serta rukun damai.

Kita sedar bahawa kemakmuran dan kesejahteraan yang kita nikmati pada hari ini adalah berkat kestabilan sosial dan politik dalam tempoh sejak kemerdekaan. Percakaran memang berlaku, sesuai dengan hakikat sedangkan lidah lagi tergigit. Namun, percakaran tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana bagai api yang marak, pergaduhan yang  tidak dikawal, sukar ditangani.

Membina masyarakat yang teguh dari segi kesepaduan sosial dan integrasi nasional memakan masa yang panjang. Kerajaan sentiasa mengutamakan perpaduan dan kepentingan rakyat dengan memastikan rakyat pelbagai etnik di negara ini dapat menikmati kekayaan negara hasil pembangunan dan perancangan yang dilaksanakan. Kesepaduan sosial dan perpaduan nasional dapat dicapai jika rayat faham akan sejarah negara, memahami budaya dan agama masing-masing, dan menerima etnik lain seadanya.

Segala cabaran di peringkat tempatan, nasional dan global bergantung kepada daya ketahanan kita yang ditentukan oleh kestabilan sosiopolitik hasil daripada kesepaduan sosial dan perpaduan nasional.  Kesepaduan sosial   dan integrasi nasional perlu terus diperkukuhkan kerana tanpa kesepaduan sosial, kita terdedah kepada risiko perpecahan dan pergolakan apabila berdepan cabaran dalaman dan luaran. Hanya dengan kesepaduan sosial dan perpaduan nasional, rakyat kita dapat hidup aman damai. – Sarawakvoice.com