Wednesday, June 29, 2022

Anak Sarawak, Sharbini Suhaili ganti Torstein ketuai Sarawak Energy Berhad pada 1 November

Secara Rawak

KUCHING: Bermula 1 November ini, Sarawak Energy Berhad (SEB) akan melantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu bagi menggantikan Datuk Torstein Dale Sjotveit, 61 tahun, yang tidak memperbaharui kontraknya yang tamat pada Oktober depan.

Sharbini Suhaili-0000Menurut kenyataan syarikat tersebut, tempat Torstein akan digantikan oleh Naib Presiden Kumpulan Petronas yang bertanggungjawab terhadap Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar, Sharbini Suhaili.

Pengunduran Torstein, yang mengetuai jentera pentadbiran syarikat itu sejak November 2009 disahkan oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dalam sidang media di pejabatnya petang semalam.

“Torstein mengambil keputusan tersebut kerana beliau memilih untuk pulang ke kampung halamannya di Norway, dan kita menghormati keputusan tersebut,” jelasnya.

Torstein yang lahir pada 10 Mei 1955 merupakan seorang yang cukup berpengalaman dan banyak memberi sumbangan kepada perkembangan perniagaan SEB.

Ini termasuklah meningkatkan jumlah jualan tenaga SEB sehingga 120 peratus, manakala hasil syarikat itu melonjak lebih 70 peratus dan keuntungan sebelum cukai mencapai peningkatan 75 peratus.

Pada masa yang sama, kadar kecurian tenaga turut dikurangkan lebih separuh manakala rangkaian agihan tenaga berlaku secara cekap dan lancar.

Malah kepakaran Torstein juga amat membantu dalam membolehkan Sarawak membina dan mengurus Empangan Murum dan Batang Ai.

Sebelum menyertai SEB, Torstein merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan pembinaan kapal terbesar di Eropah, Aker Yards ASA/STX Europe ASA.

Beliau dianugerahksan Pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) oleh Yang di-Pertua Negeri bagi mengiktiraf sumbangannya kepada negeri ini, yang membawa gelaran “Datuk”.

Sejak 2013, kepakaran Torstein diiktiraf apabila dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Kuasa Hidro Antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi SEB, Datuk Amar Hamed Sepawi berkata, beliau dan ahli pengarah syarikat itu berasa amat sedih apabila Torstein memaklumkan tentang hasrat dan keputusannya pada tahun 2015, namun syarikat terpaksa menghormatinya.

“Saya dimaklumkan bahawa kerajaan negeri dan ketua menteri, Tan Sri Adenan Satem turut terkejut dan sedih dengan keputusan Torstein untuk tidak membaharui kontraknya.

“Sepanjang tujuh tahun lalu, beliau telah memimpin perubahan besar terhadap perkembangan Sarawak Energy hingga muncul sebagai sebuah organisasi yang bukan sahaja dinamik malah diakui kehadiran dan krediblitinya di peringkat antarabangsa.

Pada masa yang sama kata Hamed, pihaknya amat berterima kasih atas sumbangan Torstein terhadap perkembangan dan pembangunan syarikat ini dan warganya.

“Ini termasuk tumpuan yang diberikan kepada pembangunan bakat dan bina upaya yang membolehkan Sarawak Energy berkembang daripada 2,800 kepada 4,500 kakitangan, dengan kebanyakannya merupakan tenaga mahir profesional.

Dalam kenyataannya, Datuk Torstein berkata, keputusan itu dibuat setelah berbincang dengan keluarganya di Norway.

“Ia merupakan satu penghargaan kepada saya untuk memimpin 4,500 anak Sarawak dalam syarikat ini untuk tempoh tujuh tahun lalu.

“Kita berbangga dengan apa yang telah dicapai dan begitu teruja untuk menanti apa yang akan datang.

“Saya berterima kasih kepada pihak Lembaga dan Kerajaan Negeri atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memimpin Sarawak Energy dalam tujuh tahun saya bersama-sama syarikat.

“Terima kasih kepada pasukan Sarawak Energy atas amanah, kerja keras dan dedikasi di setiap peringkat,” katanya.

Bermula 1 November, Sharbini Suhaili, seorang anak Sarawak kelahiran Kuching akan mula melaporkan diri.

Beliau memiliki pengalaman yang luas baik di dalam mahupun luar negara dan terlibat dalam industri minyak dan gas dengan kedua-dua Shell dan PETRONAS.

Memulakan kerjaya dengan Royal Dutch Shell pada tahun 1986 sebagai jurutera saluran paip, Sharbini memegang pelbagai jawatan di syarikat itu di Malaysia dan luar negara, termasuk jawatan kanan dalam perdagangan, perancangan, strategi dan pembangunan perniagaan.

Beliau merupakan Pengurus Besar Operasi Huluan Sabah Shell Malaysia sebelum menyertai PETRONAS pada tahun 2010 sebagai Naib Presiden Pengeluaran Antarabangsa untuk aktiviti huluan.

Sebagai Naib Presiden Pengeluaran Huluan Antarabangsa, beliau bertanggungjawab terhadap pertumbuhan perniagaan antarabangsa syarikat petroleum tersebut sebelum mengambil alih peranan yang terkini pada tahun lalu. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru