Friday, October 7, 2022

Pas sambut baik ketegasan Ketua Pesuruhjaya SPRM tangkap ikan jerung

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik  ketegasan yang ditunjukkan Ketua Pesuruhjaya (KP) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Datuk Dzulkifli Ahmad dalam menentang rasuah di negara ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Khairil Nizam Khirudin berharap beliau  konsisten, berani, bebas dan tiada pendakwaan selektif dalam tindakannya.

Semalam SPRM menahan “tiga ikan jerung”, dua daripadanya bergelaran Datuk Seri dan Datuk kerana disyaki terbabit dalam kes rasuah dan salah guna kuasa.

Susulan penahanan tersebut, akaun ketiga-tiga penjawat awam berkenaan yang melebihi RM13 juta telah dibekukan.

Dalam serbuan itu,  difahamkan wang sebanyak RM400,000 ditemui tersorok di pelbagai tempat, termasuk di siling, di dalam sebuah rumah.

Kereta mewah jenis BMW, Maserati, dan Audi turut disita.

Menurut Khairil, tawaran yang dikemukakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM juga boleh diperhalusi oleh Jabatan Peguam Negara supaya lebih banyak skandal rasuah dapat diselesaikan setiap tahun.

“Kita juga mahu supaya SPRM komited menyasarkan penyelesaian kes rasuah melebihi 95% setiap tahun. Ia harus menjadi indikator baharu kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, beliau mengakui SPRM juga berhadapan tugas berat untuk memulihkan semula kredibiliti SPRM.

“Siasatan SPRM terhadap SRC International, derma RM2.6 bilion dan secara tidak langsung terhadap kes 1MDB telah menjejaskan reputasinya sebagai badan bebas kerana ia seolah-olah dibayangi intervensi politik yang keterlaluan,” ujarnya lagi.

Mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Zakaria Jaffar dalam ucapan di Majlis Paluan Berundur 2015 dan ucapan terbaru Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdul dalam Majlis Paluan Berundur 2016 seolah-olah memberikan mesej dan isyarat penting terhadap kewibawaan SPRM yang cuba diganggu-gugat oleh pihak tertentu.

“Ini yang menjadi kebimbangan kita. Intervensi politik, pendakwaan terpilih, dan tahap ketelusan siasatan masih belum menghilangkan keraguan rakyat terhadap SPRM,” tambah kenyataan itu lagi.

Disebabkan itu, katanya, agenda membanteras rasuah yang membabitkan kes berprofil tinggi masih belum mencapai tahap yang memuaskan. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru