Wednesday, June 29, 2022

Pegawai kanan Petronas mulakan perbincangan dengan Uggah untuk tangani isu moratorium

Secara Rawak

KUCHING: Isu Petronas memasuki episod baharu hari ini apabila Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi syarikat itu di sini, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri tersebut petang ini, dalam perjumpaan ini, Petronas diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Huluannya, Datuk Mohd Anuar Taib.

“Pertemuan itu berlangsung mesra dan memberangsangkan, dan kedua-dua pihak akan mengadakan pertemuan lanjut pada Sabtu depan untuk merincikan isu-isu yang telah dibincangkan,” kata Uggah kepada media.

Turut serta dalam delegasi Petronas termasuklah Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan, Datuk Raiha Azni Abdul Rahman dan Naib Presiden Kanan Strategi Korporat, Adif Zulkifli.

Pertemuan itu diadakan lanjutan daripada keputusan kerajaan negeri untuk mengadakan moratorium terhadap permohonan baharu permit kerja warga Petronas dari luar Sarawak untuk bertugas di negeri ini.

Tindakan itu diambil berikutan keputusan Petronas untuk melakukan penstrukturan semula syarikatnya dan mengecilkan operasi, termasuk memberhentikan kakitangan-kakitangan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

Sekurang-kurangnya 13 kakitangan Petronas yang berasal dari Sarawak menerima implikasi tindakan ini.

Lanjutan daripada keputusan itu juga, Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada 13 Ogos lepas, berkata, jika usaha perundingan tidak menemui kata putus dengan Petronas, kemungkinan Kerajaan Negeri akan melihat opsyen untuk menarik balik semua permit kerja warga Petronas yang berasal dari Sarawak untuk berkhidmat di negeri ini. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru