Tuesday, August 16, 2022

Orang jahat pun marah jika mereka dizalimi, kata pemimpin Pas

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda  Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, menentang kezaliman adalah  modal politik utama politik pembangkang, manakala parti pemerintah pula akan menggunakan kata ‘menegakkan keadilan’ untuk menarik undi rakyat.

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz“Hidup ini adalah campur baur di antara betul dan salah, benar dan bohong serta adil dan zalim. Tiada manusia yang suka mereka hidup dibohongi dan dizalimi. Orang jahat pun akan marah apabila mereka dizalimi dan dikhianati,” katanya dalam kolum “Terang Rembulan”, Harakahdaily.

Nik Abduh berkata, timbangan atau neraca kehidupan yang sejahtera adalah apabila kebenaran dan keadilan berjaya ditegakkan. Walaupun manusia cintakan keadilan, tetapi mereka sukar melaksanakannya kerana kecenderungan melampau untuk memihak kepada diri sendiri atau kumpulannya.

Katanya, manusia sukar mengekang kehendak nafsu dirinya yang begitu mementingkan keseronokan diri tanpa menghiraukan hak orang lain.

“Penjarahan terhadap hak akan semakin besar akibatnya apabila ia melibatkan kelompok yang besar. Masyarakat akan menanggung kehidupan yang malang dan teruk apabila keadilan diketepikan, manakala kezaliman berleluasa tanpa sekatan,” ujarnya.

Beliau berpendirian, kezaliman awal yang tidak disekat akan mempercepatkan kezaliman seterusnya dan akhirnya mencetuskan musibah dan malapetaka yang buruk.

“Justeru menegakkan keadilan adalah isi besar perjuangan untuk membina kehidupan yang sejahtera dan bahagia. Mereka yang memilih untuk tidak berbicara mengenai keadilan sejagat sebenarnya adalah penyumbang kepada berleluasanya kezaliman. Nafsu manusia tidak akan berhenti membuas selagi mana tiada sekatan ke atasnya,” tambahnya.

Oleh kerana manusia diberi tugasan memakmurkan muka bumi, Nik Abduh berkata, maka Allah menyeru manusia supaya memperkasakan neraca keadilan di dalam kehidupan dan jangan sesekali melampaui batas.

“Kita boleh melihat tunggang langgang dunia hari ini di dalam melaksanakan keadilan yang dilaungkan mereka. Masing-masing mendakwa merekalah wira dan jaguh keadilan. Tetapi apabila diperhatikan, mereka jugalah yang menjadi punca ketidakstabilan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau menegaskan ketika parti-parti lain melihat dan memperjuangkan keadilan di dalam negara dengan pelbagai teori dan cara, Pas kekal dan terus menekankan aspek keadilan terhadap hak Allah dan agamanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru