Wednesday, June 29, 2022

David fokus Liga Super, rehatkan pemain utama dalam Piala Malaysia

Secara Rawak

Saingan Piala Malaysia sudah berakhir bagi Sarawak mendorong David Usop merehatkan para pemain seniornya dalam aksi saingan menentang JDTII di Stadium Negeri pada Sabtu lalu.

david usopMenurut Ketua Jurulatih Sarawak itu, fokus kini tertumpu pada aksi Liga Super, mendorong beliau untuk merehatkan para pemain seniornya agar dapat menjulang kembali prestasi yang semakin merundum sebelum ini.

“Saya menurunkan para pemain simpanan dan pemain muda Piala Presiden kerana para pemain utama ini perlu rehat.

“Mereka telah beraksi dalam jadual yang begitu ketat dan memenatkan, hingga menjejaskan kualiti permainan sebelum ini.

Katanya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seharusnya menyusun semula jadual ketat dan padat ini, yang dibantah oleh hampir kesemua jurulatih yang terlibat dalam liga.

“Para pemain kurang rehat. Malah jika ada pemain yang cedera, masa yang ada tidak cukup untuk mereka kembali pulih.

“Faktor ini yang menyebabkan permainan menjadi kurang berkualiti.

“Siapa yang jaring gol dahulu…dia akan menang. Siapa dapat ‘recovery’ awal, mereka akan dapat menguasai permainan. Ini tidak adil untuk semua pasukan,” jelasnya.

Dalam aksi menentang JDTII, kedua-dua pasukan terikat satu gol sama.

David berkata, secara keseluruhan, beliau berpuas hati kerana para pemain yang diturunkannya adalah mereka yang masih cetek pengalaman.

“Dan ia perlawanan yang amat baik bagi mereka dengan menentang pasukan yang sudah berpengalaman,” jelasnya.

Dalam perlawanan tersebut, David turut memuji para pemain mudanya yang banyak mencipta peluang, namun nasib tidak menyebelahi mereka untuk menggegarkan gawang lawan.

“Ia petanda yang baik sebenarnya. Bahawa kita akan memiliki barisan pelapis yang berpotensi selepas ini.

“Kerana itu peluang sebegini perlu selalu diberikan kepada mereka,” tambahnya lagi yang turut membayangkan untuk menurunkan barisan yang sama ketika aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia, menentang Kedah di halaman sendiri pada 19 Ogos depan.

Sebelum itu, skuad Ngap Sayot itu juga akan menentang barisan Helang Merah dalam aksi Liga Super pada Selasa ini yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru