Tuesday, August 16, 2022

Pas gunakan khidmat peguam di England saman Sarawak Report

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pas akan memfailkan saman terhadap Sarawak Report berhubung dakwaannya bahawa parti itu menerima RM90 juta daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Parti Islam itu menyifatkan laporan portal yang berpangkalan di London  mempunyai niat jahat dan mencemarkan nama baik parti dan dasar Islam yang menjadi teras kepada tunjang perjuangannya.

Pengumuman tersebut dibuat Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat di Pejabat Agung Pas.

“Kita telah membuat keputusan untuk membawa kes ini ke mahkamah di England kerana difahamkan media ini adalah berpusat di England,” ujarnya.

Pas difahamkan akan mengambil tindakan tersebut dalam waktu sekitar sebulan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas,  Datuk Takiyuddin Hassan pada sidang media berkata Pas telah mengenal pasti badan Queen’s Counsel (Q.C) atau Peguam Diraja di London untuk membantu membawa kes ke mahkamah di England.

“Kita telah mengenal pasti Queen’s Counsel (QC) iaitu Peguam Diraja di London yang pernah ada hubungan dengan kita (PAS) berhubung kes-kes sebelum ini dan kita jangka dalam waktu terdekat kita akan kaji dan failkan kes ini ke mahkamah, waktu terdekat itu ialah dalam tempoh satu bulan,” katanya.

Naib Presiden Pas,  Idris Ahmad mengesahkan berita tersebut.

“Jangan lupa kita terus berdoa agar Allah menunjukkan kebenaran dan membalas kerja buat Sarawak Report dan sekutunya,” katanya. – Sarawakvoice.com

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru