((Wira Merdeka Pejuang Bangsa )) Mengenang Tun Rahman Yaakub, tokoh kecil berjiwa besar

0
15

Tun Abdul Rahman Yaakub merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak keempat. Beliau menggalas tugas itu menggantikan Tun Abang Mohamad Salahuddin Abang Barieng pada 2 April 1981 hingga beliau meletak jawatan pada 2 April 1985. Sebelumnya, beliau merupakan Ketua Menteri Sarawak ketiga bermula 7 Julai 1970 hingga 26 Mac 1981.

Era Tun Abdul Rahman merupakan era yang mencabar bagi Sarawak kerana selain baharu merdeka dan berusaha membebaskan dirinya daripada belitan kemiskinan, negeri terbesar di Malaysia itu juga berhadapan masalah konfrontasi dan ancaman komunis.

Tun Abdul Rahman Yaakub merupakan tokoh yang memiliki episod hidup yang menarik dan warna-warni sejak kecil. Beliau merupakan pemilik jiwa kental – yang akhirnya menjayakannya sebagai seorang ahli politik.

Lahir pada 3 Januari 1928 di Kampung Jepak, Bintulu, bapanya Wan Yaakub Wan Yusuf dipercayai bernasab keturunan Syed dari Kelantan (dengan salasilah dari Yemen). Ibunya Siti Hajar Mohd Tahir pula merupakan keturunan Melanau dari Mukah, dari jurai keturunan Orang Kaya Pehin Setia Raja.

Abdul Rahman mengalami episod menarik dalam hidupnya apabila terpaksa berkahwin muda lantaran meletusnya Perang Dunia Kedua.

Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Anchi, Miri. Bapanya inginkan beliau menjadi tokoh agama dan belajar di Madrasah Arab Al Juned pada 1939 tetapi dibangkang oleh ibunya yang tidak dapat berjauhan dengannya. Beliau kemudiannya ditukarkan ke Sekolah St Joseph, Miri – yang bagaimanapun terbantut berikutan meletusnya Perang Dunia Kedua.

Ketika zaman Jepun inilah Abdul Rahman mempelajari seni bela diri Jepun, Aikido – sehingga bertemu dengan pengasasnya Morihei Ueshiba.

Abdul Rahman pernah bekerja sebagai penguji minyak untuk Syarikat Shell Sarawak serta menjadi guru sandaran di Kuching sebelum diterima sebagai Pegawai Hal-Ehwal Bumiputera dalam Perkhidmatan Awam Sarawak pada 1948.

Setelah itu, Abdul Rahman melanjutkan pelajaran ke Universiti Southampton, England dalam jurusan undang-undang, sebelum muncul sebagai Bumiputera pertama Sarawak yang lulus sebagai peguam daripada Lincoln’s Inn pada 1958.

Sekembalinya ke Sarawak, Abdul Rahman dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya dalam Jabatan Undang-Undang Sarawak dari tahun 1959 hingga 1963.

Potensi Rahman menarik minat Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman hingga membawanya ke kancah politik. Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Tanah dan Galian dalam pentadbiran Tunku pada 1960-an.

Pada 1970, ketika menjawat Menteri Pelajaran, Perdana Menteri Tun Abdul Razak telah mengarahkan beliau kembali ke Sarawak untuk menyandang kerusi Ketua Menteri. Beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Temenggong Koh yang sebelum ini mengambil alih jawatan daripada Datuk Stephen Kalong Ningkan – yang dipecat lantaran krisis politik pada waktu tersebut.

Sebelum menjawat Ketua Menteri Sarawak, Abdul Rahman sewaktu menjadi Menteri Pelajaran telah mencipta nama yang agak cemerlang.

Menerusi Laporan Rahman Yaakub, beliau telah mengilhamkan penukaran medium bahasa pengantar untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu selain mengilhamkan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1970.

Pada tempoh yang sama juga beliau antara pemimpin yang mencadangkan tentang perlunya Malaysia mempunyai syarikat minyak sendiri yang kini dikenali sebagai Petronas di samping mengilhamkan Bank Utama Berhad – salah satu bank yang beribupejabat di Sarawak.

Abdul Rahman kemudian memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Rajang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak 1969 (yang diadakan pada 1970), atas tiket Parti Bumiputera Sarawak (Bumiputera) yang menjadi sekutu Perikatan Sarawak.

Selepas pilihan raya tersebut, tiada parti yang bertanding berjaya memperoleh majoriti jelas dan Abdul Rahman dengan kebijaksanaan, karismatik dan sokongan Kerajaan Persekutuan telah menyakinkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) untuk menyertai gabungan Perikatan Sarawak.

Kejayaan ini meletakkan Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ketiga – seorang Melayu-Melanau beragama Islam untuk kali pertama. Masyarakat Melayu Melanau merupakan kumpulan minoriti dari aspek populasi kependudukan Sarawak.

Kecemerlangan Abdul Rahman lain termasuklah merintis perdamaian dengan pihak komunis di negeri itu. Menerusi Operasi Sri Aman pada 1974, Abdul Rahman berjaya menyakinkan Bong Kee Chok, salah seorang pemimpin Parti Rakyat Kalimantan Utara untuk bersama-sama 482 gerila komunis lain meletakkan senjata.

Pada 1981, akibat desakan daripada SUPP yang rimas dengan keaktifan Rahman menyebar dan membangunkan Islam, serta setelah menjalani pembedahan pintasan jantung di London, Abdul Rahman mengumumkan untuk berhenti daripada terlibat secara aktif dalam politik.

Beliau meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada anak saudaranya, Abdul Taib Mahmud yang ketika itu merupakan Menteri di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Abdul Rahman kemudian dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak keempat selepas Tun Salahuddin Abang Barieng. Meski bukan menjawat jawatan eksekutif negeri, namun pengaruh Abdul Rahman dikatakan masih tebal.

Bahkan hubungan beliau dengan anak saudaranya yang juga Ketua Menteri ketika itu menjadi agak keruh, yang ditafsir menjadi asbab utama beliau tidak menamatkan penggal sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak.

Pada 1983, ketika berucap merasmikan Lembaga Pelabuhan Bintulu, Rahman secara terang-terangan mengkritik Abdul Taib hingga menyebabkan Ketua Menteri meninggalkan majlis secara tergesa-gesa.

Abdul Rahman Yaakub kemudian meletak jawatan sebagai Yang DiPertua Negeri pada 1985 dengan memberi alasan kesihatan.

Sebaliknya pada 1987, beliau menubuhkan parti baru yang dinamakan Parti Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) yang berusaha menyingkirkan Abdul Taib.

Untuk tujuan tersebut, Abdul Rahman bersekongkol dengan Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) – yang merupakan serpihan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) yang diketuai oleh Datuk Leo Moggie Itom.

Sebelum parti baru tersebut ditubuhkan pada Mac tahun tersebut, empat menteri penuh dan tiga menteri muda dalam kabinet Taib telah meletakkan jawatan. Mereka merupakan 27 daripada 48 ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Abdul Rahman dan mendesak agar Taib meletakkan jawatan — atau menerima undi tidak percaya. Perbincangan mengenai usul ini telah dilangsungkan di Hotel Ming Court Kuala Lumpur.

Abdul Taib bagaimanapun mengambil langkah bijak dengan mendapatkan perkenan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Zaidi Adruce untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan awal.

Perang politik antara yang terbesar di negeri ini telah berlaku. Di kedua-dua belah pihak, perbezaan ideologi menjadi keutamaan, dan tuduh-menuduh menjadi permainan.

Abdul Taib bagaimanapun terselamat dan kumpulan Maju yang diterajui Abdul Rahman kalah pada pilihan raya 1987 ini. Kekalahan ini berterusan pada 1991 dan tahun-tahun berikutnya, yang membawa kepada pembubaran PERMAS kemudiannya.

Abdul Rahman kemudian mengambil keputusan untuk memberi tumpuan kepada aktiviti ibadah dan keagamaan. Beliau tidak lagi memberi tumpuan kepada siasah, apatah lagi pada usia yang semakin senja.

Ketika semua pihak menyangkakan hubungan bapa dan anak saudara ini begitu keruh, mereka bertemu dan berpelukan pada ulang tahun Abdul Rahman ke-80 di Hotel Hilton Kuching pada tahun 2008. Lebih mengagumkan, Abdul Rahman menyifatkan hubungan darah kedua-duanya adalah lebih pekat berbanding air.

Karier politiknya kini diwarisi oleh puterinya, Datuk Norah Abdul Rahman yang kini merupakan Ahli Parlimen Tanjung Manis.

Tun Rahman menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 87 tahun, sekitar jam 9.30 malam pada hari Jumaat , 9 Januari 2015 setelah menderita sakit tua. – Sarawakvoice.com